SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) di sini menahan seorang lelaki dan merampas 41 kotak kosmetik, dipercayai diseludup masuk dari Filipina.
Kesemua barangan kosmetik itu dianggarkan bernilai RM257,900 dirampas susulan serbuan di kawasan jeti di Kampung Sum Sum, Tampi-Tampi, kira-kira jam 10.30 malam Khamis.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, ACP Nazri Ibrahim berkata, susulan maklumat, Unit Risikan PPM Semporna menahan seorang lelaki dan sebuah Proton Exora.
“Hasil pemeriksaan menemui 41 kotak berisi kosmetik dipercayai diseludup masuk dari Filipina.
“Semua rampasan serta lelaki itu dibawa ke pangkalan Marin Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya.
Nazri berkata, kesemua barangan itu tidak mempunyai sebarang dokumen sah seperti hak milik, kebenaran berdaftar, resit pembelian dan pengguna.
Tambahnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.