SANDAKAN: Sebuah rumah tidak kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Pulau Tanjung Aru, dekat sini, pada Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata enam anggotanya yang menaiki bot dari Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan dikejarkan ke lokasi susulan panggilan kecemasan pada jam 1.29 petang.
Jimmy berkata, berdasarkan keterangan pengadu, kebakaran berlaku sekitar jam 12.05 tengah hari.
“Operasi dikawal pada jam 2.40 petang dan tamat pada jam 3.08 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat, manakala punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Turut membantu, tujuh anggota APMM dan empat anggota Pasukan Polis Marin Sandakan.