Kota Kinabalu: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menafikan dakwaan bahawa ia bekerjasama dengan mana-mana parti politik atau gabungan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Ketua Penerangannya Mohd Ari-Nadzrah Abd Rahman berkata parti itu kekal dengan pendiriannya untuk bertanding secara bersendirian dalam pilihan raya.
“Sebarang dakwaan atau program yang mengaitkan KDM dengan parti-parti lain adalah tidak benar, termasuk yang sedang tular di media sosial hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tegasnya, KDM telah membuat keputusan muktamad untuk bergerak secara solo dalam PRN17, dan keputusan itu kekal.
“Sebarang acara yang dianjurkan oleh parti lain yang mengaitkan KDM adalah tidak benar dan berlaku tanpa pengetahuan kami,” katanya.
Mohd Ari-Nadzrah mengeluarkan kenyataan itu sebagai respon terhadap satu hantaran tular di media sosial yang mendakwa kononnya wujud program bersama antara Parti Sedar Rakyat (Sedar) dan KDM.
Beliau menjelaskan perkara itu tidak benar dan program terbabit diadakan tanpa penglibatan parti.
“Ini juga mungkin satu cubaan untuk mencemarkan reputasi KDM sebagai parti tempatan yang akan bertanding dalam PRN17,” katanya.