TAWAU: Muslihat warga asing menebang pokok dan meletakkan lori besar sebagai hadangan jalan antara yang perlu dilalui sepasukan 40 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah ketika operasi mengesan pendatang tanpa izin (PTI) di Semporna pada Selasa dan Rabu.
Pengarah Imigresen Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata muslihat itu dipercayai cubaan untuk menghalang kemaraan kenderaan lori dan van JIM Sabah daripada memasuki kawasan setinggan di Jalan Bubul Lama.
“Taktik itu kita hadapi di laluan yang sempit dan becak, namun kita teruskan juga operasi walaupun terpaksa berjalan kaki sehingga 300 meter untuk masuk ke kawasan sasaran,” katanya.
Sitti Saleha berkata demikian pada sidang media Pejabat Imigresen Tawau susulan Operasi Mahir dan Operasi Sapu yang dijalankan di lima kawasan berasingan di sekitar Semporna.
Menurutnya, pelbagai muslihat atau taktik digunakan warga asing dikesan untuk menghalang kemaraan penguatkuasa menjalankan operasi terbabit termasuk cubaan mengelak daripada ditangkap.
“Ada antara yang ditahan mengaku keberadaan kita sudah diketahui awal, mungkin juga kerana melihat kehadiran kenderaan penguatkuasa JIM Sabah di kawasan sasaran.
“Bahkan ada juga warga asing yang dikesan cuba bersembunyi di dalam almari pakaian tetapi berhasil dikesan oleh pegawai penguatkuasa kita yang menjalankan pemeriksaan,” katanya.
Malah, turut dikesan warga asing yang mengemukakan dokumen pengenalan diri berbentuk salinan fotostat dan mengatakan dokumen asal dipegang oleh majikan dan rakan mereka.
Menyentuh kejayaan siri operasi terbabit, beliau berkata keseluruhannya seramai 173 orang yang diperiksa dan 88 PTI dikenalpasti tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Dalam Operasi Mahir, JIM Sabah berhasil menahan 14 PTI, termasuk empat warga China yang didapati tinggal lebih masa selepas lanjutan khas pas mereka didapati tamat pada 18 Mac lalu.
“Operasi yang dijalankan di sebuah kawasan pembinaan pusat peranginan di Jalan Bugaya itu juga menyaksikan penahanan melibatkan 10 warga asing yang berasal dari Filipina,” katanya.
Menerusi Operasi Sapu pula, pelaksanaannya melibatkan empat lokasi tumpuan iaitu dua kawasan setinggan di sekitar Jalan Bubul Lama dan dua premis penduduk di Kampung Damai.
Mengulas lanjut, secara purata kesemua PTI yang ditahan berumur antara tiga hingga 65 tahun melibatkan 78 warga Filipina, empat orang warga China, tiga Indonesia dan tiga Pakistan.
Tindakan diambil mengikut Akta Imigresen 1959/ 63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Tawau dan kita masih menunggu sekiranya ada keluarga atau pihak majikan yang boleh tampil mengemukakan dokumen sah mereka.
“Kita juga mengingatkan semua warga asing supaya mematuhi syarat pas masing-masing, jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang yang dikuatkuasakan di negara ini,” katanya.