Kota Kinabalu: Seorang lelaki didenda RM3,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mengugut secara jenayah rakan serumahnya menggunakan sebilah pisau.
Alexandre Schroder, 27, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Alexandre mengugut seorang lelaki berusia 40 tahun dengan berkata, “mari sama saya” sambil memegang pisau, dengan niat untuk menimbulkan ketakutan dan mengugut mangsa.
Kesalahan itu dilakukan pada 31 Mac kira-kira jam 1.30 pagi, di sebuah bilik sewa di Kg Tanjung Aru, di sini.
Alexandre didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Jika ugutan tersebut melibatkan niat untuk menyebabkan kematian atau kecederaan serius, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya.
Menurut fakta kes, kejadian berlaku apabila Alexandre tiba-tiba mengetuk pintu bilik mangsa dan menuduh mangsa mencuri tong gas miliknya.
Alexandre kemudian mengambil pisau dari dapur dan mengeluarkan ugutan, menyebabkan mangsa berasa takut akan keselamatannya.
Alexandre diwakili oleh peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Lim Ming Zoong @ Lawrence, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri.