Kota Kinabalu: Kabinet Negeri pada Rabu meluluskan Skim Insurans Berkelompok yang akan memanfaatkan kira-kira 3.5 juta rakyat Sabah. Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata perlindungan insurans kemalangan itu adalah percuma kepada semua yang layak.
Beliau berkata perlindungan insurans itu akan dilaksanakan melalui syarikat milik Kerajaan Negeri, Progressive Insurance Berhad, di mana kira-kira 3.5 juta rakyat Sabah berumur antara sebulan hingga 80 tahun akan menerima perlindungan insurans kemalangan diri percuma secara automatik bernilai sehingga RM10,000, berserta faedah khairat kematian RM500.
“Sebagai permulaan, skim perlindungan percuma ini akan dilaksanakan untuk tempoh tiga tahun, mulai 1 Mei 2025 hingga 30 April 2028. Melalui proses tuntutan yang cekap, sebarang tuntutan bayaran akan disalurkan kepada penerima dalam tempoh 14 dan 30 hari selepas dokumen lengkap diserahkan,” katanya.
Masidi berkata skim perlindungan insurans ini merupakan satu lagi inisiatif Kerajaan Sabah untuk menjaga kebajikan rakyat, di samping meringankan beban kewangan penduduk, khususnya golongan B40.