Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menggagalkan beberapa cubaan penyeludupan membabitkan pelbagai barangan – termasuk lebih 40kg syabu – melalui operasi berasingan di pantai timur Sabah sepanjang Mac lalu.
Memangku Tugas-Tugas (MTT) Penolong Ketua Pengarahnya, Saidin Jalaluddin berkata, kejayaan tersebut dicapai melalui maklumat yang disalurkan orang ramai seiring dengan komitmen jabatan dalam membanteras penyeludupan.
Beliau berkata, siri operasi itu menyaksikan rampasan beberapa barangan termasuk ketum, bunga api dan mercun, rokok berserta kenderaan – kesemuanya dengan jumlah nilai RM3,344,312.35.
Saidin berkata operasi pertama dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Kastam Semporna pada 11 Mac lalu, menyaksikan rampasan syabu selepas menyerbu sebuah bas ekspres di sebuah terminal.
“Pasukan menjalankan pemeriksaan ke atas dua kotak mencurigakan dan mendapati ia mengandungi syabu seberat 40.787kg bernilai RM1,305,184,” katanya pada sidang media, Rabu lepas.
Dipercayai kegiatan sebuah sindiket, dadah itu diseludup melalui terminal bas sebagai sebahagian daripada modus operandi penyeludupan dadah, tambahnya.
Bagaimanapun, beliau berkata siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 sedang dijalankan bagi mengenal pasti sindiket terbabit dalam kegiatan haram itu.
Pada 6 Mac, Saidin berkata sembilan kotak mengandungi serbuk hijau seberat 125kg, dipercayai ketum, dirampas susulan operasi lain di Terminal Bas Tawau.
“Dalam kes ketiga, kastam merampas bunga api bernilai RM1,130,640 dalam operasi yang dijalankan pada 18 Mac lalu di Lahad Datu dan mercun bernilai RM943 di Sandakan pada 11 Mac.
“Kesemua barang rampasan itu tidak mempunyai permit import dan disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Kastam 1967,” katanya.
Beliau juga berkata operasi keempat - yang dijalankan pada 10 dan 12 Mac - menyaksikan rampasan rokok tidak bercukai bernilai RM24,000 yang ditemui dalam dua kenderaan berasingan.
“Operasi bagi kes terakhir dijalankan pada 13 Mac membabitkan sebuah kereta sedan bernilai RM15,000 yang telah melebihi tempoh masuk dibenarkan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” tambahnya.
Saidin menggesa orang ramai untuk terus memainkan peranan mereka dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa, khususnya Kastam, mengenai sebarang aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol jabatan di 1-800-88-8855 atau datang ke pejabat berhampiran.
Beliau memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.