Kota Kinabalu: Gangguan bekalan elektrik di Sabah menunjukkan penurunan ketara berikutan pelaksanaan pelbagai langkah mitigasi dan pemantauan berterusan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata data daripada Sabah Electricity (SE) menunjukkan purata jidar simpanan ketika ini adalah pada 12.4 peratus dan dijangka meningkat kepada 20 peratus menjelang Julai 2025.
“Peningkatan ini penting bagi memastikan kestabilan sistem bekalan elektrik dan mengelak catuan yang memberi kesan kepada rakyat dan ekonomi negeri,” katanya ketika membuat penggulungan bagi Jabatan Ketua Menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Hajiji juga melaporkan bahawa kekerapan catuan bekalan elektrik telah berkurangan dengan ketara berbanding tahun lalu.
“Sebagai perbandingan, pada Mac 2025, hanya terdapat empat kali catuan berbanding 13 kali pada bulan sama tahun lepas, mewakili pengurangan sebanyak 69 peratus,” katanya.
Begitu juga, pada April 2025, hanya sekali catuan direkodkan, berbanding tiga kali pada April 2024, menunjukkan pengurangan sebanyak 67 peratus.
Hajiji menjelaskan bahawa kebanyakan gangguan pada tahun ini disebabkan oleh isu teknikal yang tidak dijangka.
“Antara punca utama adalah gangguan bekalan gas oleh Petronas baru-baru ini yang menyebabkan kekurangan kapasiti penjanaan,” jelasnya.
Selain itu, gangguan sementara berlaku di loji solar Tadao di Kudat disebabkan cuaca awan tebal secara tiba-tiba yang menyebabkan kehilangan tenaga secara mendadak.
Terdapat juga insiden di Stesen Janakuasa Utama Segaliud pada April 2025; bagaimanapun, tindakan segera oleh Pengendali Sistem Grid dan SE berjaya meminimumkan kesan gangguan kepada hanya satu jam.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri memandang serius isu bekalan elektrik dan telah melaksanakan langkah jangka pendek dan panjang.
“Pelbagai langkah mitigasi sementara dan pelan pantas telah diluluskan oleh Majlis Tenaga Sabah, yang bersidang tiga kali pada 2024,” katanya.
Antara langkah ini ialah rancangan untuk meningkatkan kapasiti penjanaan baharu dan meningkatkan kecekapan penyampaian kuasa daripada loji kepada pengguna.
Beliau berkata usaha ini adalah penting dalam memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat berikutan pembangunan pesat negeri ini.
Kerajaan juga sedang memperkukuh infrastruktur tenaga secara menyeluruh, termasuk pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui.
“Infrastruktur tenaga yang teguh adalah asas penting untuk pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya sambil memberi jaminan Kerajaan akan terus bekerjasama rapat dengan SE dan agensi berkaitan untuk memastikan bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi di seluruh Sabah.
“Kita tidak mahu rakyat terus dibebani dengan gangguan yang berulang. Kerajaan serius menangani isu tenaga secara menyeluruh dan mampan,” katanya.
Berharap semua pihak termasuk Adun dan pengguna memahami cabaran teknikal sedia ada, beliau percaya usaha berterusan akan membuahkan hasil dalam masa terdekat.