Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri komited untuk terus menyelesaikan pelbagai isu berkaitan tanah, termasuk menyegerakan pengeluaran geran tanah untuk anak negeri dan memperluaskan pendigitalan bagi meningkatkan pengurusan tanah di seluruh Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) sentiasa proaktif dan peka terhadap keperluan rakyat, terutama dalam menangani isu pemilikan tanah yang berlarutan.
“Sebagai contoh, 1,279 Geran Tanah Anak Negeri (NT) bersyarat telah disediakan dan diserahkan di Pulau Banggi. Tambahan pula, 2,674 lot telah diukur, 1,562 dalam proses penyediaan geran draf, dan 1,112 masih dalam semakan,” katanya ketika menggulung persidangan Jabatan Ketua Menteri semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Rabu.
Ketua Menteri berkata usaha di kawasan luar bandar tidak diabaikan, dengan 36,803 lot seluas 224,608 hektar dikeluarkan geran NT di daerah seperti Keningau, Tambunan, Nabawan dan Tenom.
Mengenai isu yang dibangkitkan oleh Alias Sani (Sekong) berhubung tiada kampung yang diisytiharkan secara rasmi sejak lima tahun lalu, Hajiji memaklumkan terdapat 16 permohonan yang sedang diproses di peringkat daerah dan akan diisytiharkan selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Guna Tanah Daerah.
“Kerajaan tetap komited untuk mewujudkan perkampungan orang asal tersusun mengikut dasar yang digariskan,” katanya.
Sementara itu, berhubung permohonan pertukaran status tanah di Kampung Sugud, beliau menjelaskan permohonan seluas 56.18 ekar sedang dalam proses dan akan dibentangkan pada mesyuarat jawatankuasa Mei ini.
Menjawab cadangan Datuk Ewon Benedick (Kadamaian) untuk pewujudan peruntukan khas bagi mengeluarkan geran tanah bukan di bawah Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas), Hajiji berkata JTU akan meneliti cadangan itu secara menyeluruh.
“Kerajaan tidak menolak sebarang cadangan yang memberi manfaat kepada pemilikan tanah untuk rakyat,” tambahnya.
Menjawab isu yang dibangkitkan Jamil Hamzah (Bugaya), Ketua Menteri mengumumkan bahawa tunggakan permohonan tanah telah dikurangkan daripada 313,543 pada 2011 kepada 28,044 setakat Mac 2025, iaitu penurunan sebanyak 91 peratus.
“Ini adalah hasil pelaksanaan program Pantas dan memanfaatkan ICT untuk mempercepatkan pemprosesan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat isu fizikal seperti pertindihan tanah dan pertikaian pemilikan yang melambatkan proses itu.
“Selain itu, permohonan baharu yang diterima setiap tahun juga menambah beban tugas pegawai lapangan,” tambahnya.
Bagi mempercepatkan pemindahan NT, Hajiji berkata Sistem Maklumat Pengesanan Geran Tanah (VLTIS) telah mengurangkan proses kepada hanya 10 hingga 40 hari.
Beliau menyatakan bahawa proses ini bergantung kepada tafsiran ordinan berkenaan dengan takrif anak negeri seperti yang ditetapkan dalam Ordinan Cap. 64.
Mengulas mengenai permohonan tanah skim Nabawan, beliau berkata sebanyak 285 lot telah dikeluarkan geran, manakala 484 geran Pantas telah diserahkan kepada pemilik dan 335 lagi telah dicetak dan sedia untuk penghantaran.
Beliau juga menyatakan kesediaan Kerajaan untuk mempertimbangkan menggunakan perkhidmatan juruukur tanah berlesen jika perlu pada masa hadapan.
Mengenai isu yang dibangkitkan Datuk Yakubah Khan (Karambunai) berhubung Kampung Norowot dan Kampung Kinabakan, Hajiji menjelaskan Norowot sebelum ini termasuk dalam rizab padang ragut dan tidak dapat diproses.
Bagaimanapun, permohonan baharu seluas 23 ekar telah disokong untuk pengisytiharan sebagai tapak kampung baharu.
Bagi Kampung Kinabakan, tiada permohonan tanah diterima, namun kawasan itu terletak dalam zon Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), dan penduduk telah dipindahkan ke tanah rizab di Boronuon, Telipok.
Mengenai isu yang dibangkitkan Datuk Masiung Banah (Kuamut) mengenai pejabat JTU di Tongod, Hajiji berkata permohonan itu telah dimasukkan dalam perancangan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).