TAWAU: Warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) diseru untuk meneruskan semangat berpasukan tanpa mengira perbezaan latar belakang untuk muncul sebagai organisasi terbilang.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri) Norlela Ismail percaya nilai kerja berpasukan harus dijadikan budaya kerja dan dipertahankan demi manfaat jabatan.
“Kunci utama untuk mencapai tujuan sebagai organisasi terbilang adalah kerjasama dan perpaduan tanpa mengira pangkat, bangsa, agama atau perbezaan fahaman politik,” katanya.
Norlela berkata demikian semasa berucap dalam Program Nilai-Nilai Murni Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat JKDM Zon Sabah di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, kerja berpasukan mempunyai banyak kelebihan kerana menggabungkan keupayaan, kemahiran, pengetahuan dan komitmen untuk mencapai prestasi cemerlang.
“Misalnya, amalan rumah terbuka sempena hari raya seperti majlis ini boleh mewujudkan semangat muhibbah dan harmoni, serta mengeratkan hubungan dengan pemegang taruh.
“Saya juga yakin JKDM Zon Sabah sudah merangka program dan strategi dalam pelbagai aspek untuk memastikan JKDM dapat mencapai sasaran yang ditetapkan pada tahun ini,” katanya.
Turut hadir, termasuklah Memangku Tugas-Tugas (MTT) Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Saidin Jalaludin dan Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Labuan Aspalila Awang Tuah.