Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri menyumbang RM110,000 bagi Anugerah Kewartawanan Kinabalu tahun ini, meningkat berbanding RM100,000 tahun lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan sumbangan itu kepada Persatuan Wartawan Sabah (SJA) selaku penganjur anugerah itu dalam Majlis Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri Bersama Rakan Media di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, Sabtu.
Pengarah Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri Datuk Lucy Irene Yong dalam ucapannya berkata, Majlis Hari Raya Aidilfitri itu dianjurkan khas oleh ketua menteri khusus untuk pengamal media.
“Ketua Menteri dan kerajaan negeri amat menghargai peranan dan kerjasama pihak media, yang terus memberi sokongan dan membantu melaporkan program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Sambutan tahun ini berbeza daripada tahun sebelumnya kerana ia diadakan di Menara Kinabalu yang mempunyai dewan yang cantik dan indah,” katanya.
Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai, Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor, Pengarah Penyiaran Sabah Mohd Yusni Mohamed Ali, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Mariah Doksil dan Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu Jimmy Goh, ketua-ketua pengarang, ketua-ketua biro akhbar dan portal berita.