Tuaran: Seorang kanak-kanak lelaki autistik berusia lima tahun dikhuatiri hilang dari rumahnya di Kampung Bahagia Dua, Tamparuli di sini, Ahad lalu.
Kanak-kanak dikenali sebagai Muhd Aniq disedari hilang kira-kira jam 1.30 tengah hari oleh ahli keluarganya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Tamparuli berhubung kejadian terbabit pada jam 1.52 tengah hari.
Sebaik menerima panggilan itu, seramai 12 anggota termasuk dua anggota unit anjing pengesan (K9) bergegas ke lokasi berserta satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Sebaik tiba, pasukan bomba melakukan pencarian di kawasan mangsa dilaporkan hilang dengan keluasan radius sejauh 300 meter dengan bantuan unit anjing pengesan K9.
“Bagaimanapun sehingga jam 7 malam tadi (Ahad), operasi pencarian terpaksa ditangguhkan atas arahan polis dan akan disambung pada esok (Isnin),” katanya.
Menurutnya, operasi SAR turut disertai polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
“Sebarang perkembangan, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.