Kota Kinabalu: Sabah FC menamatkan saingan Liga Super dengan hambar apabila tewas 0-1 kepada Perak FC di laman sendiri pada malam Ahad.
Mereka memulakan perlawanan tanpa kehadiran Dominic Tan di bahagian pertahanan dan tempatnya digantikan oleh Hanafie Tokyo Hasim, manakala pemain tengah Mohd Syukri Baharun juga diberikan penampilan pertama dalam skuad senior musim ini, tetapi hanya sempat beraksi selama 33 minit sebelum digantikan oleh Roslan.
Walaupun mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri, pasukan pelawat tampak lebih berbahaya dalam melakukan serangan.
Bekas pemain kebangsaan Wan Zack Haikal Wan Nor hampir membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 namun percubaannya sedikit tersasar dan cubaan keduanya pula berjaya diselamatkan oleh Damien Lim dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-19.
Tekanan berterusan mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-29 apabila hantaran lintang Farris Izdiham tertampan masuk ke gawang sendiri oleh Rawilson Batuil, yang diberi lilitan ketua pasukan pada malam terbabit.
Keadaan bertambah buruk buat Sabah FC apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-42 selepas Dinesh Rajasingam dilayangkan kad merah kerana didapati mengangkat kaki terlalu tinggi sehingga terkena kepala Daniel Hakimi.
Jafri Chew berpeluang menyamakan kedudukan seawal minit pertama pada babak kedua, namun rembatannya tersasar.
Walaupun Sabah FC mencipta lebih banyak peluang pada separuh masa kedua, Perak FC hampir menambah jaringan pada minit ke-72 apabila hantaran Syahmi Shamsudin berjaya dipintas oleh Hanafie Tokyo sebelum sampai kepada Farris Izdiham.
Kekalahan ini merupakan kekalahan keenam musim ini buat Sabah FC. Mereka menamatkan musim di tempat ketiga dengan 40 mata hasil 11 kemenangan dan tujuh keputusan seri, manakala Perak FC berada di tempat ketujuh dengan 30 mata.
Ketua jurulatih Badak, Martin Stano berkata beliau memilih untuk menurunkan beberapa pemain muda dalam perlawanan itu selepas kedudukan di tempat ketiga sudah terjamin walaupun masih berbaki satu perlawanan.
“Ia adalah musim yang sangat panjang dan sudah tentu kami mahu menamatkannya dengan kemenangan, tetapi nasib tidak menyebelahi kami hari ini.
“Selepas mengesahkan tempat ketiga, kami mahu beri peluang kepada beberapa pemain tempatan, tetapi permulaan agak gementar dan kami gagal mencipta peluang pada minit-minit awal.
“Gol sendiri yang dijaringkan serta insiden kad merah menjadikan tugas untuk bangkit semakin sukar.
“Kami melakukan beberapa pertukaran pada separuh masa kedua. Nampaknya menjadi dan kami hampir mendapat gol penyamaan pada permulaan babak tersebut.
“Kami bermain dengan lebih baik dan saya tabik kepada pemain kerana berusaha sedaya upaya untuk terus berjuang hingga ke wisel penamat,” katanya.