BEAUFORT: Seorang bayi perempuan ditemui ditinggalkan di dalam sebuah kotak di luar sebuah rumah di Kampung Brunei, Membakut, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Beaufort Supt Wong Leong Meng berkata mereka menerima panggilan daripada orang awam yang menjumpai bayi tersebut.
Orang awam itu menemui bayi itu jam 6.10 pagi selepas melihat sebuah motosikal bewarna putih yang mencurigakan di kawasan itu sebelum itu.
Bayi yang dianggarkan berusia 36 minggu itu dibalut dengan tuala dan diletakkan sebiji limau di sebelahnya, bersama sekeping nota tulisan tangan yang berbunyi “Ada anak dalam kotak ini. Tolong jaga anak saya, semoga rezeki dipermudahkan”.
Polis sudah pun dimaklumkan dan bayi terbabit dibawa ke wad pediatrik Hospital Beaufort untuk pemeriksaan perubatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp. Muhammad Hafizuddin Mohd Tarmizi di 012-4175332 atau balai polis yang berhampiran.