Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 26 tahun yang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupunya bakal mengetahui nasibnya pada 10 Jun tahun ini.
Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah menetapkan tarikh itu untuk lelaki terbabit apabila kesnya dibawa untuk penghujahan pada Selasa.
Kedua-dua pihak, pendakwaan dan pembelaan telah membuat hujahan lisan mereka di hadapan mahkamah menetapkan tarikh keputusan pada akhir peringkat pembelaan.
Lelaki terbabit didakwa melakukan kesalahan itu terhadap gadis berusia 14 tahun itu dengan menindihnya untuk tujuan seksual.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada jam 4 pagi pada 27 Julai 2023 di sebuah rumah di Penampang.
Kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memanggil empat saksi manakala hanya seorang saksi memberi keterangan untuk pembelaan.
Timbalan Pendakwa Raya Eugenie A. Gilbert melakukan pendakwaan manakala lelaki itu yang dibebaskan dengan ikat jamin, tidak diwakili.
Dalam kes berasingan, seorang warga Indonesia berusia 54 tahun itu dipenjara enam bulan kerana tinggal melebihi masa ditetapkan di negeri ini selama tiga hari.
Yunus Tawak mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain atas pertuduhan dihadapinya.
Dia ditahan pada 8 April tahun ini di kawasan Ranau dan didapati pas Lawatan Sosialnya tamat tempoh pada 6 April tahun ini.
Yunus diperintah menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap dan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.