Wed, 10 Jun 2026
Headlines:
Perkasa bahasa etnik Borneo: Jeffrey
Published on: Thursday, April 24, 2025
Published on: Thu, Apr 24, 2025
By: Jinni Juanis
Text Size:
Text:
Perkasa bahasa etnik Borneo: Jeffrey
JEFFREY (tengah) merakam gambar bersama pengamal adat di karnival adat baru-baru ini.
Tuaran: Sekolah Adat memainkan peranan penting untuk menjadikan bahasa etnik sebagai medium pembelajaran bukan sahaja di Sabah, tetapi juga di Sarawak dan Kalimantan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan memberi contoh, bahasa Kadazan dan Dusun boleh dikendalikan dalam kelas Sekolah Adat Kadazandusun, manakala bahasa Bajau pula diajar dalam konteks sejarah maritim.

Advertisement
“Satu lagi contoh baik ialah bahasa Murut boleh diperkasakan melalui cerita lisan dan lagu tradisional. 

“Masing-masing ada kelebihan tersendiri,” katanya ketika merasmikan Karnival Pendidikan Adat Budaya Borneo kali ketiga di Pusat Latihan Guru Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Kg Lumawang Tuaran, minggu lalu.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Menurut Dr Jeffrey, mereka perlu memperluaskan pendekatan memperkasa bahasa etnik ini ke seluruh Borneo supaya setiap orang asal dapat menjaga bahasa mereka sendiri, dan pada masa yang sama, berkongsi nilai-nilai murni bersama.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah itu menekankan, kerjasama serantau antara dua lagi jiran iaitu Sarawak dan Kalimantan boleh memantapkan bahasa, budaya dan adat sesama mereka.

Advertisement
“Tiga entiti ini patut mengadakan kerjasama serantau dan saya melihat karnival adat ini sebagai satu landasan ke arah memartabatkan adat. Karnival ini adalah langkah awal mengadakan kerjasama budaya yang lebih erat.

“Ini kerana kita berkongsi perayaan seperti Pesta Kaamatan di Sabah, Gawai (Sarawak) dan Erau (Kalimantan). Seni kraf seperti tenunan, tatu tradisional dan ukiran kayu juga ada persamaan di negeri-negeri dalam Borneo ini,” katanya.

Advertisement
Dr Jeffrey menambah bahawa makanan tradisional seperti hinava, linopot dan juadah berasaskan padi adalah produk yang boleh dikongsi antara tiga negeri jiran ini. 

Oleh itu, beliau menggesa semua pihak yang prihatin terhadap adat supaya menjadikan karnival ini sebagai pemula jaringan pendidikan adat yang lebih besar di mana semua orang boleh belajar antara satu sama lain dan mengukuhkan ikatan budaya. 

Beliau juga menekankan untuk menjadikan bahasa ibunda sebagai kebanggaan setiap etnik dengan menuturkannya dalam kehidupan seharian dan dalam pendidikan.

Beliau juga mahu semua pihak untuk memberikan sokongan kepada pembangunan sekolah adat di Sabah yang walaupun semakin berkembang baik, ia masih memerlukan bantuan memandangkan ia adalah benteng terakhir mempertahankan warisan.

“Dalam memperkasakan agenda, kita perlu ada jaringan budaya Borneo. Marilah kita bekerja sama dengan Sarawak dan Kalimantan untuk memastikan adat kita terus hidup,” katanya.

Bersandarkan kepada cogan kata, ‘adat itu jiwa, budaya itu nadi’ kata Dr Jeffrey – selagi semua pihak mempertahankannya, selagi itulah rakyat di kepulauan ini dikenali sebagai Bangsa Borneo.

Karnival ketiga kali ini adalah anjuran bersama Sekolah Adat Anak Negeri Sabah, Lembaga Kebudayaan, dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). 

Karnival adalah acara kemuncak bagi aktiviti Sekolah Adat di seluruh Sabah yang diadakan sekali dalam setahun.

Acara ini dianggap sebagai istimewa kerana ia menjadi platform pendidikan adat dan budaya bagi seluruh Kepulauan Borneo iaitu pertemuan dengan orang asal dari Sarawak dan Kalimantan Indonesia.

Kata Dr Jeffrey, semua tahu bahawa Borneo adalah tanah yang kaya dengan adat, budaya, dan bahasa yang saling berkaitan. 

Karnival ini adalah bukti bahawa tiga negeri ini bersatu dalam kepelbagaian dan komited memelihara warisan bersama.

“Karnival ini bukan sekadar pesta budaya, tetapi suatu wadah penting untuk mengangkat tamadun bangsa Borneo. 

“Kita harus berbangga dengan identiti adat istiadat, tarian, muzik, dan falsafah hidup yang diwarisi sejak turun-temurun.

“Dalam dunia yang pantas berubah, kita menghadapi cabaran besar iaitu bahasa ibunda kita semakin terpinggir. Jika bahasa hilang, maka hilanglah sebahagian besar identiti kita,” katanya.

Dalam intipati terpenting pendidikan adat ialah pemuliharaan bahasa ibunda, jelasnya.

Suatu bahasa, katanya, hanya benar-benar dimartabatkan apabila ia menjadi ‘bahasa ilmu’, iaitu digunakan dalam pengajaran, dokumentasi dan penyebaran pengetahuan.

Lebih daripada 2,000 orang dari tiga negeri ini hadir di karnival dua hari itu. Antara program yang diadakan ialah pertandingan pidato dalam bahasa ibunda antara etnik dan sekolah adat, pertandingan megagong, tarian etnik dan pertandingan kuntau Tingolig.

Karnival adat ini mula diadakan pada 2023 dan dianjurkan oleh Persatuan Pengamal Adat Sabah (Sunduan Nabalu).
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here