TAMPARULI: Seorang kanak-kanak lelaki dengan autisme berusia lima tahun, yang dikhuatiri hilang sejak Ahad lalu di Kampung Bahagia Dua di sini, ditemukan meninggal dunia di tepi sungai, kira-kira 3.5 kilometer dari rumahnya.
Mayat Muhd Aniq Faiz Muhammad Ashraf ditemui di celah timbunan batang buluh yang terapung di tepi sungai kira-kira jam 12.20 tengah hari Khamis.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin mengesahkan penemuan mangsa.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sejak 20 April ditamatkan pada jam 1.15 tengah hari pada hari kelima, Khamis.
“Mangsa ditemui pasukan penyelamat dan disahkan meninggal dunia oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi penemuan.
“Mayat seterusnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuaran untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan, Khamis.
Menurutnya, pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga, termasuk memantau pergerakan anak-anak.
Polis juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat, termasuk orang awam yang bertungkus-lumus membantu operasi SAR.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohammad Nor Amit berkata, jasad mangsa ditemui ketika pasukan penyelamat menggunakan kaedah pencarian ‘water rafting’ di kawasan sungai.
“Pasukan bomba seterusnya mengangkat mangsa selepas disahkan meninggal dunia dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Ahad lalu, mangsa dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya apabila tidak ditemui di dalam rumah kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Pencarian mangsa di sekitar rumah gagal, dan hanya menemukan anak patung milik mangsa di halaman rumah sebelum laporan dibuat.
Operasi SAR diperluaskan setiap hari membabitkan agensi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Pelancongan Kiulu serta orang awam.