TAWAU: “Saya masih ahli sah berdaftar Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS),” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kukusan Datuk Rina Jainal sebagai mengesahkan statusnya bersama parti terbabit.
Pengakuan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu sekali gus menepis ura-ura yang sebelum ini mengaitkannya beliau sudah tidak sehaluan dengan Presiden PHRS Tan Sri Liew Yun Fah.
Daily Express turut difahamkan beliau masih lagi memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden PHRS merangkap Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ditanya jika beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 dengan PHRS untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan pula, Rina berkata ketika ini pihaknya lebih suka untuk menjalani sahaja baki masa yang ada.
“Apapun kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti. Bagi saya politik yang terbaik adalah tunjuk kerja sahaja. Pucuk pimpinan pun sudah lebih matang dan masak dengan situasi begini.
“Bagi saya mereka pasti akan membuat keputusan yang terbaik,” katanya, yang ditemui sempena sidang media yang berlangsung di sebuah premis di Bandar Tawau di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Rina akui masih banyak urusannya yang belum selesai di DUN Kukusan dan teruja untuk terlibat dalam pelbagai perancangan khususnya untuk Kukusan dan amnya Sabah.
Mengenai dakwaan yang mengaitkan perjalanan politiknya berpindah dari parti lamanya (Parti Warisan Sabah) ke PHRS demi poket sendiri, beliau menafikan hal itu.
“Duit poket sendiri? Kita memang tidak memandang hal yang begitu, kerana bukan itu yang menjadi praktis kita. Kita cuma buat kerja di kawasan. Tetapi inilah resam dalam politik.
“Apapun jawapan diberi, tetap ada saja persepsi terutama daripada pihak lawan yang akan mengeluarkan kata-kata untuk menjatuhkan kita seperti pengkhianat dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, beliau bukan hanya mengambil tanggungjawab mewakili suara belia dan wanita tetapi lebih cenderung kepada penyelesaian isu infrastruktur di Kukusan dan isu besar lain.
Pada masa sama, pemimpin wanita itu berharap lebih orang yang melihat wawasan atau suara Kukusan dan Kerajaan GRS hari ini sebagai satu hala tuju politik yang baik untuk rakyat Sabah.