SIPITANG: Kedudukan strategik Sipitang yang bersempadan dengan Sarawak dan Brunei Darussalam menjadikan daerah ini berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai hab ekonomi dan pelancongan rentas sempadan.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih, berkata kelebihan geografi ini meletakkan Sipitang pada landasan tepat untuk menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.
“Kedudukan strategik Sipitang sebagai pintu masuk rentas sempadan antara Sarawak, Brunei Darussalam dan Sabah menjadikannya antara daerah yang mempunyai potensi besar untuk diterokai sebagai hab pembangunan ekonomi dan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Daerah Sipitang bagi sesi 2025–2027 di Kota Kinabalu pada 21 April lalu.
Seramai 17 individu menerima watikah pelantikan dan akan bertanggungjawab membantu merancang serta melaksanakan inisiatif pembangunan di peringkat tempatan.
Isnin turut menggesa semua ahli majlis baharu agar menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Katanya, Sipitang bukan sahaja kaya dengan keunikan budaya dan warisan tempatan seperti Pesta GATA, malah turut memiliki keindahan alam semula jadi serta hasil pertanian yang subur.
“Gabungan nilai warisan, kekayaan sumber semula jadi serta lokasi strategik menjadikan Sipitang sebuah daerah yang sangat berpotensi untuk dibangunkan secara agresif,” ujarnya.
Menurut beliau, perkembangan serantau terutamanya perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan dijangka memberi kesan langsung kepada kawasan sempadan seperti Sipitang, Kalabakan dan Nabawan.
Jelasnya, perkembangan ini tidak harus dipandang ringan kerana ia berupaya mencetuskan pertumbuhan pesat aktiviti ekonomi rentas sempadan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan persediaan awal dari segi infrastruktur, keselamatan sempadan dan kemudahan logistik.
“Negara jiran kita, Brunei Darussalam, sudah pun membina beberapa Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) sebagai persediaan menghadapi peningkatan aktiviti keluar-masuk,” katanya.
Tambah beliau, Sabah perlu mencontohi pendekatan tersebut agar tidak ketinggalan dalam menyediakan prasarana dan kemudahan yang sesuai untuk rakyat.
Isnin menegaskan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, agensi berkaitan, komuniti dan sektor swasta amat penting dalam merealisasikan aspirasi pembangunan daerah ini.
“Dengan semangat bersepadu, kita mampu melonjakkan Sipitang ke tahap lebih tinggi sebagai hab ekonomi strategik di Sabah,” katanya.
Turut hadir, Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Majlis Daerah Sipitang, Abdul Karim A. M. Zahari dan Ketua Polis Daerah Sipitang, Awang Anak Suanda.