KUDAT: Klinik Kesihatan Karakit, Pulau Banggi dekat sini akan dibekalkan dengan sebuah bilik x-ray dan sebuah bot ambulans untuk menghantar pesakit dari Pulau Banggi ke Bandar Kudat.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib berkata, RM1 juta diperuntukkan bagi mewujudkan bilik x-ray di klinik berkenaan, manakala RM700,000 untuk membekalkan sebuah bot ambulans.
“Kedua-dua kemudahan ini amat penting bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan Pulau Banggi,” ujar beliau.
James berkata demikian selepas beliau menyempurnakan majlis rumah terbuka Aidilfitri Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Tanjong Kapor, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banggi, Datuk Mohamad Mohamarin dan Adun Tanjong Kapor, Datuk Ben Chong. Menurut James, pada tahun lepas, sebanyak RM700,000 telah pun diperuntukkan bagi menaik taraf Klinik Kesihatan Karakit.
Tambah beliau, semua klinik daif akan dinaik taraf menjelang 2026, dan jika dilihat hari ini, kebanyakan klinik lama yang diperbuat daripada kayu telah diubah kepada konkrit.
Sementara itu, katanya, kerajaan telah menempah lapan mesin dialisis untuk ditempatkan di Hospital Kudat bagi memastikan kemudahan itu sentiasa mencukupi dan sedia untuk digunakan pada bila-bila masa ianya diperlukan.
“Kerana pesakit buah pinggang ini semakin hari semakin bertambah, bukan sahaja di Kudat bahkan di seluruh Sabah, namun mesin-mesin yang ada di hospital-hospital ini semakin hari semakin usang, dan perlu ditambah semula,” katanya.
Adun Sugut itu turut mengagumi kepimpinan Ben yang jelas amat prihatin kepada rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan peringkat umur untuk diberi perhatian serta bantuan sewajarnya.
“Di Kudat ini juga kita dapat melihat kemesraan kaum Cina, Melayu, KDMR dan bangsa lain, apatah lagi dalam perayaan seumpama ini yang menghidupkan suasana perpaduan, khususnya di kawasan Tanjong Kapor ini.
“Saya yakin dan percaya perpaduan ini dapat kita pertingkatkan lagi, silaturrahim kita dapat rapatkan lagi di bawah kepimpinan Ben Chong yang sudah tentu diketahui oleh masyarakat di kawasan ini,” katanya.