Kota Kinabalu: Orang awam disaran merujuk kepada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi mengelak menjadi mangsa penipuan pakej haji palsu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, yang juga Exco Hal Ehwal Islam dan Pendidikan Negeri, berkata TH mempunyai kepakaran luas dalam menguruskan jemaah haji dan sentiasa bersedia membantu orang ramai mendapatkan maklumat sahih.
“Masyarakat tidak akan mudah tertipu dengan pakej-pakej haji palsu sekiranya membuat semakan awal dengan merujuk kepada TH atau agensi-agensi yang diiktiraf.
“TH juga sentiasa bersedia memberi khidmat nasihat dan bimbingan dalam membantu orang ramai memilih pakej haji daripada agensi-agensi yang berwibawa,” katanya.

Mohd Arifin memberitahu demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana Haji (Zon Pantai Barat) di Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Sabtu.
Kursus selama dua hari, yang diadakan dari 26 hingga 27 April, disertai lebih 400 bakal jemaah haji dari zon Pantai Barat Sabah. Beliau berkata Kerajaan Negeri menyokong komitmen TH dalam membantu jemaah membuat persiapan awal menunaikan ibadah haji.
“Terima kasih kepada TH atas penganjuran kursus ini yang turut diadakan di daerah-daerah bagi membimbing bakal jemaah dengan ilmu secukupnya sebelum berangkat ke Tanah Suci,” ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya, hampir 1,000 bakal jemaah dari Sabah akan menunaikan ibadah haji tahun ini dan berharap kuota itu akan terus bertambah pada masa hadapan. Dalam pada itu, beliau mengajak masyarakat membuka akaun Tabung Haji serta mendidik anak-anak menabung sejak awal bagi memudahkan urusan pendaftaran haji kelak.
Turut hadir, Pembantu Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Ruslan Muharam, Mufti Negeri Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Sabah Datuk Norjeli Idris, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah Datuk Jumain Abdul Ghani serta Pengarah Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak Datuk Nurlaila Said.