“PERLU dijelaskan tiada satu negara pun yang berjaya sepenuhnya melaksanakan model Ekonomi Biru,” kata Rosmadi.
Walaupun beberapa negara menunjukkan kemajuan dalam subsektor tertentu seperti perikanan lestari atau bioteknologi marin, tiada satu pun yang telah mencapai pelaksanaan penuh Ekonomi Biru secara menyeluruh.
“Ia sama seperti ekonomi hijau. Negara mana yang boleh mendakwa dirinya sepenuhnya hijau? Tiada. Dengan ekonomi biru, ia malah lebih bersifat eksperimen. Setiap negara masih cuba untuk memahami kerana banyak masih dalam peringkat meneroka,” katanya.
Rosmadi berkata Ekonomi Biru mewakili satu visi masa depan yang berkuasa – di mana penjagaan alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi bukan bertentangan tetapi selari.
“Mari kita percepatkan pembangunan di mana orang lain belum melakukannya. Lautan adalah sempadan kita yang seterusnya,” katanya.
Pada 24 November 2023 Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2024 mengumumkan bahawa Kerajaan Sabah bercadang menerokai Ekonomi Biru dengan matlamat mencapai pembangunan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Sebagai contoh pemuliharaan bakau, perikanan dan akuakultur, tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan rekreasi, perubahan iklim dan lain-lain.
“Oleh itu kerajaan akan melaksanakan penerokaan baharu ini dengan kerjasama pelabur asing yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini.”
Berikutan itu pasukan Sekretariat SMJ telah mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dan pemegang taruh melalui perbincangan meja bulat untuk membangunkan rangka kerja dan dasar strategik pada 14 Disember 2023, 27 Jun 2024 sehingga 19-20 Oktober 2024.
Beliau berkata tujuan perbincangan itu adalah untuk mengenal pasti sektor mana yang perlu diberikan keutamaan. Terdapat empat komponen Ekonomi Biru yang boleh dipecahkan kepada 14 industri atau lebih yang berpotensi untuk diterokai di Sabah.