Kota Kinabalu: Isu kedaifan fasiliti klinik kesihatan di Sabah, sama ada di bandar mahupun luar bandar, terus mendapat perhatian serius kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan sistem kesihatan di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Exco Kesihatan Sabah, Datuk James Ratib berkata, fasiliti usang yang tidak diselenggara sejak puluhan tahun lalu menjadi antara faktor penyumbang kepada kekurangan doktor pakar di negeri ini.
“Ya, memang kita sedari bahawa fasiliti bukan sahaja di luar bandar, tetapi di bandar juga memang kurang dan banyak yang perlu dinaik taraf.
“Sebab itu sebenarnya apabila saya mesyuarat Exco di Putrajaya, perkara pertama yang saya bangkitkan adalah masalah-masalah kedaifan klinik-klinik kita, sama ada di bandar ataupun luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri jamuan Hari Raya Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) di Wisma Tun Fuad Stephens, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, antara contoh jelas kedaifan tersebut adalah keadaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) yang telah diambil alih oleh kerajaan Persekutuan namun tidak menerima sebarang penambahbaikan.
“Saya pernah bercakap dalam mesyuarat Exco bahawa ILKKM yang telah diambil alih oleh kementerian Persekutuan sejak tahun 2015, tetapi tidak mendapat pembaikan. Tilam dan bantal mereka sudah 20 tahun tidak pernah diganti.
“Sebab itu saya sendiri telah menyatakan kepada menteri dan ketua pengarah, jika tidak ganti tilam dan katil di ILKKM sama ada di Tawau, Sandakan atau Kota Kinabalu, kita akan ambil balik pengurusannya kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.
James berkata, tindakan tegas itu akhirnya membuahkan hasil apabila tindakan segera diambil demi keselesaan pelatih ILKKM.
“Alhamdulillah perkara ini telah didengar oleh menteri dan ketua pengarah, dan telah diberikan serta-merta. Sebab itu semua ILKKM sangat gembira kerana mendapat lebih kurang 1,350 tilam, begitu juga dengan katil,” katanya.
Tambah beliau, dalam tempoh dua tahun ini, banyak klinik usang di Sabah telah digantikan dengan bangunan konkrit, termasuk klinik di kawasan pedalaman yang sebelum ini berstruktur kayu dan dalam keadaan hampir roboh.
“Kalau dulu strukturnya hampir roboh kerana dibuat daripada kayu yang sangat usang, tetapi dalam masa dua tahun ini, lebih 100 klinik kesihatan kayu telah kita ganti dengan konkrit di seluruh Sabah,” katanya.
James turut mengakui kekurangan doktor di negeri ini banyak berpunca daripada kemudahan infrastruktur yang lemah seperti bekalan air dan elektrik.
“Alhamdulillah, kerajaan hari ini juga telah menaik taraf semua klinik dengan bekalan elektrik, memasang sistem solar, serta menyediakan bekalan air, barulah kini keadaan bertambah baik.
“Saya percaya banyak lagi fasiliti kesihatan yang perlu diganti baharu, dan saya sendiri sejak dua tahun ini sangat sibuk melawat kesemua fasiliti kesihatan di seluruh negeri,” katanya.
Beliau menegaskan, semua ketua jabatan dan pengarah perlu turun padang bagi mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi di lapangan tanpa mengharapkan menteri sendiri turun menyelidik.
“Sebab itu saya memberi amaran kepada semua pengarah-pengarah, tolong turun ke bawah, maklumkan kepada menteri apa masalah supaya kita boleh selesaikan,” katanya.