PUTRAJAYA: Analisis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap klip video yang didakwa skandal rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah berhubung isu pelesenan lombong mineral, dijangka siap dalam tempoh seminggu lagi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata laporan forensik terhadap 10 rakaman video yang tular sebelum ini telah diperoleh, namun agensi itu masih memerlukan masa bagi meneliti kesemua bahan bukti dengan teliti sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Saya jangka dalam seminggu lagi (hasil analisis) akan keluar. Saya pun ada bertanya (perkembangannya) dengan pegawai saya kerana tidak mahu perkara ini dilambatkan,” katanya kepada media selepas menghadiri Persidangan Antirasuah Asia Tenggara 2025 di sini, Selasa.
Mengulas lanjut, Azam berkata proses penelitian memerlukan masa kerana melibatkan sejumlah rakaman dan SPRM mahu memastikan siasatan dijalankan secara adil dan menyeluruh.
“Semua pihak bertanya kenapa lambat dan sebagainya. Kita kena faham, ini melibatkan 10 video bukan satu, jadi kita kena tengok dan teliti betul-betul.
“Kita kena adil. Kalau tidak nanti ada pihak mempertikaikan pula, adakah ini satu forensik yang adil atau tidak. Jadi kita kena buat dengan cara yang elok,” katanya.
Baru-baru ini, tular beberapa rakaman video yang didakwa menunjukkan perbualan berkaitan rasuah antara individu tertentu dan beberapa wakil rakyat Sabah berhubung isu pelesenan mineral di negeri itu.
SPRM sebelum ini memaklumkan telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu dan menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk analisis forensik digital terhadap bahan bukti berkenaan.
Sementara itu, pemberi maklumat berkaitan skandal rasuah itu pada Selasa telah menyerahkan bukti baharu setebal hampir 300 muka surat kepada SPRM.
Peguamnya, Mahajoth Singh berkata ia termasuk nama-nama saksi, perbualan WhatsApp, log panggilan, dokumen dan sebuah telefon bimbit mengandungi rakaman perbualan asal.
Beliau berkata satu video baharu juga telah diserahkan, tambahan kepada sembilan yang telah didedahkan sebelum ini.
“Kami menerima arahan (daripada SPRM) untuk mengemukakan bukti tambahan.
“Ini sebagai lanjutan kepada sembilan video serta kenyataan setebal 50 muka surat yang telah diberikan,” katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat SPRM, Selasa.
Mahajoth berkata bukti baharu itu menunjukkan jejak aliran wang yang jelas melibatkan proksi dan dakwaan penyalahgunaan kuasa, termasuk pemindahan saham secara sulit.