LAHAD DATU: Pengundi dan rakyat di daerah ini digesa memberikan sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Silam Datuk Mizma Appehdullah berkata ia bertujuan bagi menjamin kestabilan dan pembangunan kawasan berkenaan.
Menurutnya pembangunan kawasan Lahad Datu agak terlambat memandangkan kawasan ini diwakili pemimpin dari pihak pembangkang.
“Kita memahami bahawa Parlimen Lahad Datu ini diwakili oleh wakil rakyat daripada parti pembangkang yang pastinya mereka tidak mempunyai peruntukan untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.
“Hal ini merupakan satu kerugian kepada sesebuah daerah apabila tidak diwakili seorang pemimpian daripada parti kerajaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada Ahad.
Mengulas lanjut Mizma menyatakan GRS perlu diberikan peluang agar dapat melaksanakan lebih banyak usaha untuk membangun kawasan ini. Katanya GRS dilihat sebagai satu landasan yang dapat membawa negeri dan daerah ini kepada perubahan melalui kestabilan politik dan halatuju yang jelas.
Perubahan sangat penting katanya meskipun tidak dapat dilaksanakan secara sekali gus namun perubahan secara berperingkat dapat memastikan rakyat hidup dalam keadaan yang lebih baik.
Sementara itu Mizma menyatakan perbezaan fahaman atau parti politik tidak seharusnya dijadikan alasan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Apabila menyentuh soal rakyat semuanya perlu diketepikan agar rakyat tidak terbeban.
“Seperti hari ini saya gembira dengan kehadiran pemimpin-pemimpin dari parti pembangkang kerana meskipun kita berbeza ideologi tetapi tujuan kita sama iaitu berkhidmat untuk rakyat,” tambahnya.