Tuaran: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri terus komited dalam usaha memelihara khazanah alam semula jadi Sabah melalui peluasan kawasan Kinabalu Unesco Global Geopark (KUGGP) dan Rizab Biosfera Banjaran Crocker, sejajar dengan matlamat pembangunan lestari di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau berkata pengiktirafan antarabangsa oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) terhadap Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia dan Geopark Global, serta Banjaran Crocker sebagai Rizab Biosfera, meletakkan Sabah antara tiga kawasan di dunia yang menerima “Triple Crown of Unesco”.
“Ini bukan sahaja satu penghormatan, malah satu tanggungjawab besar,” katanya ketika melancarkan Proses Konsultasi Bersama Pihak Berkepentingan dan Komuniti Tempatan serta Ekspedisi Saintifik Peluasan KUGGP dan Rizab Biosfera Banjaran Crocker di Kampung Kebudayaan Linangkit, di sini, Sabtu.
Menurut beliau, pengukuhan asas saintifik, peningkatan kesedaran awam dan pemeliharaan sumber semula jadi secara lestari adalah keutamaan. Hajiji berkata, peluasan kawasan KUGGP ke daerah ini merupakan langkah strategik yang mendapat sokongan penuh Kerajaan Negeri kerana kawasan ini bukan sahaja kaya dengan biodiversiti, tetapi juga berpotensi tinggi dalam sektor eko-pelancongan dan pembangunan komuniti.
Beliau turut mengumumkan perancangan untuk menubuhkan sebuah Pusat Kesedaran Awam atau galeri maklumat sebagai syarat tambahan bagi memenuhi salah satu keperluan kriteria Unesco.
“Saya mahu Jawatankuasa KUGGP bersama Pejabat Daerah Tuaran kenal pasti lokasi sesuai untuk menubuhkan pusat ini kerana ia penting bagi meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan Geopark,” katanya.
Tambahnya, pembangunan Geopark tidak hanya tertumpu kepada sains dan pemuliharaan, malah mampu memperkasakan ekonomi komuniti melalui pelancongan berasaskan geokhazanah.
Sabah, katanya, memiliki kelebihan semula jadi yang tidak dimiliki negeri lain seperti hutan hujan tropika, gunung, laut dan biodiversiti luar biasa. Beliau memberi contoh lokasi eko-pelancongan berjaya seperti Nohutu EcoTourism (Kota Belud), Kiulu Farmstay, Pusat Kebudayaan Walai Tobilung (Kota Marudu) dan Misompuru Homestay (Kudat) sebagai model pembangunan yang boleh dicontohi.
Menyentuh kejayaan Ekspedisi Saintifik Geo-Sulaman (Egos 2025) baru-baru ini, beliau berharap hasil kajian tersebut dapat didokumentasikankan sebagai asas kepada rancangan pembangunan pelan pengurusan, garis panduan serta bahan pendidikan berkaitan peluasan kawasan Geopark.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga merancang beberapa ekspedisi saintifik tambahan di kawasan Banjaran Crocker melibatkan Ranau dan Tuaran sebagai persediaan peluasan Rizab Biosfera Banjaran Crocker.
“Kejayaan Geopark bukan hanya terletak pada namanya, tetapi pada usaha kolektif kita untuk belajar, berkongsi dan melindungi khazanah alam ini demi generasi akan datang,” ujarnya.
Hajiji yakin peluasan kawasan KUGGP dan Rizab Biosfera Banjaran Crocker akan membawa manfaat menyeluruh, termasuk pemeliharaan alam sekitar, peningkatan pendidikan komuniti serta pembangunan sosioekonomi negeri.
Majlis tersebut dihadiri pelbagai pihak berkepentingan, termasuk agensi kerajaan, penyelidik institusi pengajian tinggi, wakil komuniti tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kejayaan ekspedisi saintifik dan peluasan kawasan Geopark.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Seri Christina Liew berkata daerah ini mempunyai potensi luar biasa, bukan saja dari segi keunikan geologi dan biodiversiti, malah dari aspek warisan etnik seperti Dusun Lotud dan Bajau-Sama, yang dianggap aset warisan tidak ternilai Sabah.
Beliau menegaskan bahawa konsultasi bersama komuniti dan pihak berkepentingan amat penting dalam membangunkan kawasan sedemikian, lebih-lebih lagi dalam inisiatif yang menyasarkan pengiktirafan Unesco.
“Setiap geopark atau rizab biosfera yang diiktiraf Unesco mesti mengintegrasikan tiga teras utama — pemeliharaan warisan semula jadi dan budaya, pembangunan ekonomi lestari untuk komuniti setempat, serta pendidikan dan kesedaran awam,” katanya.
Christina berkata Sabah diberkati dengan kekayaan alam dan kebudayaan yang luar biasa, tetapi ia menjadi tanggungjawab semua untuk melindungi dan mengurusnya secara berhemah agar dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
“Matlamat kita ialah memastikan sumber ini terus terpelihara dan dimanfaatkan oleh generasi kini dan akan datang,” katanya.
Tambah beliau, pembangunan lestari bukan sahaja soal mengurangkan kerosakan alam sekitar, tetapi mengenai mencari keseimbangan antara keperluan manusia dan kelestarian alam.
Beliau menyifatkan KUGGP dan Rizab Biosfera Banjaran Crocker sebagai model terbaik.
“Kawasan-kawasan ini bukan sahaja zon perlindungan biodiversiti, tetapi juga contoh kewujudan bersama berharmoni antara manusia dan alam,” katanya.
Christina berkata model seperti ini juga boleh menjadi panduan kepada komuniti lain yang ingin membangunkan kawasan masing-masing tanpa menjejaskan integriti ekologi dan budaya.
Pada majlis itu, beberapa pertubuhan menerima sumbangan kewangan daripada pihak KUGGP sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial mereka.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Peter Lintar, Pengarah Taman-Taman Sabah, Maklarin Lakim dan Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging.