SOOK: Sepuluh kampung di daerah ini dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak petang Khamis.
Kampung terjejas adalah Dalit Stesen, Kuala Puntih, Mempulut, Ansip Laut, Pegalungan Ansip, Biah Skim 2, Linsuk, Masusun, Kuala Agiing dan Namadan Baru.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sook, Caroline Benjamin Jiungan berkata, susulan banjir itu JPBD membuka lima pusat pemindahan sementara (PPS) setakat petang Sabtu.
Caroline, yang juga Pegawai Daerah Sook, memberitahu PPS dibuka secara berperingkat, bermula dengan Balai Raya Kampung Molosok Dalit diikuti Dewan Kampung Molosok, Dewan SK Pekan Keningau II, Dewan Kampung Ansip Tengah, Dewan Datuk Ellron Angin Kampung Biah Tengah dan Dewan Masyarakat Sook.
Setakat laporan ini, seramai 202 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan bilangan 659 mangsa telah dipindahkan ke PPS. Bagaimanapun, bilangan itu dijangka meningkat memandangkan proses pendafaran di PPS masih dijalankan.
Antara kampung yang terjejas teruk adalah Kampung Kuala Puntih, yang dilanda banjir sejak Jumaat dan bertambah teruk pada Sabtu.
Seorang penduduk, Mariam Sakai berkata, banjir kali ini menjejaskan 28 rumah (28 KIR) melibatkan hampir 100 orang. Banjir itu juga menenggelamkan bangunan balai raya, gereja dan tadika kampung itu.
Tinjuan
Daily Express di Kampung Linsuk dan sekitar Pekan Sook mendapati beberapa rumah dan premis perniagaan terjejas banjir sehingga petang Sabtu.
Mujur penduduk sempat mengalihkan kenderaan masing-masing ke kawasan yang tinggi sebelum rumah mereka dilimpahi air.
Sementara itu, Adun Sook merangkap Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin meninjau PPS SK Pekan Dua Keningau dan menegaskan perlunya mewujudkan sebuah PPS kekal di Mukim Ansip disebabkan kekerapan banjir di situ.
“Melihat kekerapan banjir di sini, ada keperluan untuk membina satu PPS tetap. PPS sementara kadang-kadang tidak boleh digunakan jika ada aktiviti lain,” katanya.
Ellron menambah, beliau akan membangkitkan perkara itu pada sidang Dewan Undangan Negeri akan datang untuk mendapatkan peruntukan pembinaan PPS tetap ini, memudahkan penduduk terjejas banjir di Sook mendapat penempatan lebih selesa.