KUNAK: Rancangan menaiktaraf jalan berbatu kerikil di Jalan Kadazan Mostyn kepada jalan berturap asfalt kini pada peringkat pelantikan konsultan bagi kerja-kerja reka bentuk.
Menurut Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, perolehan bagi pelaksanaan kerja-kerja menaiktaraf dijangka bermula seawal pertengahan tahun hadapan (2026), di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Untuk rekod, hanya sekitar 600 meter jalan dari bulatan Simpang Empat telah diturap, manakala beberapa kilometer lagi masih kekal sebagai jalan berbatu kerikil.
Laluan tersebut menghubungkan Kampung Mostyn Lama, Kampung Sri Bahagia, Sekolah Kebangsaan (SK) Mostyn dan bangunan Pencawang Masuk Utama (PMU) Sabah Electricity di kawasan Kunak.
Jalan Kadazan Mostyn telah wujud sejak era pasca kemerdekaan dan pernah menjadi laluan penting bagi pengangkutan kayu balak ke Pangkalan berhampiran Pelabuhan Kunak, selain berperanan dalam pembangunan industri tanaman abaka di daerah ini suatu ketika dahulu.
Penduduk kampung sekitar berharap agar kerajaan dapat meningkatkan kualiti sistem jaringan jalan raya, khususnya di laluan ini, memandangkan ia kini menjadi penghubung utama ke pekan Kunak dan kawasan sekitarnya.
Jalan kerikil itu sering mengalami kerosakan selepas hujan lebat, terutamanya di kawasan cerun dan selekoh, dan kini diselenggara secara berkala oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah.