Tuaran: Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS) menyumbangkan bantuan kewangan sebanyak RM5,000 setiap satu kepada 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.
TTS yang dipengerusikan oleh Peter Lintar memberikan sumbangan itu sempena pelancaran Proses Rundingan Pemegang Taruh dan Komuniti Tempatan serta Ekspedisi Saintifik untuk Pengembangan Geopark Global Unesco Kinabalu (KUGGP) dan Rizab Biosfera Banjaran Crocker (CRBR) yang berlangsung di Kampung Budaya Linangkit di sini pada Sabtu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor merasmikan majlis tersebut. Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew.
Hajiji menyampaikan sumbangan itu kepada pemimpin-pemimpin Persatuan Pembangunan Lotud Negeri Sabah, Persatuan Asal Lotud Negeri Sabah, Sekolah Adat Anak Negeri Sabah, Pusat Pembelajaran Komuniti Lotud, Persatuan Nelayan Daerah Tuaran, Kelab Belia Harapan Daerah Tuaran, Kelab Olahraga Tuaran, PIBG SM St John, Tuaran, PIBG SMK Sri Nangka, Tuaran, PIBG SK Selupoh, Tuaran, PIBG SK Kindu, Tuaran, PIBG SK St John, Tuaran, Kelab Olahraga Masters Selupoh, Persatuan Belia Buansa Kg Mengkabong, Tuaran dan Badan Penyelenggara Dewan, Futsal dan Padang Suworoh Selupoh, Tuaran.
TTS ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS).
Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Josie Lai, Pengarah TTS, Dr Maklarin Lakim, dan Pegawai Daerah Tuaran Herman Tunggiging.