Kota Kinabalu: Lebih 800 menyertai Program 13th Mother’s Day Walk Abreast 2025 anjuran Kinabalu Pink Ribbon dalam usaha memperkasa kesedaran terhadap kanser payudara serta menyokong pesakit dan bekas pesakit di Sabah
Program tahunan itu yang bertemakan ‘Walk for Life, Walk for Hope” turut disertai isteri Ketua Menteri Sabah merangkap Yang Dipertua Mutiara-GRS, Datin Seri Juliah Salag, yang menyertai acara berjalan kaki sejauh 10 kilometer sebagai tanda solidariti bersama pejuang kanser.
Pengerusi Penganjur Jacqueline John berkata program itu bukan sekadar acara riadah, sebaliknya merupakan simbol sokongan dan kekuatan untuk semua wanita yang terkesan dengan penyakit tersebut.
“Objektif utama kami adalah menyampaikan mesej bahawa pesakit dan bekas pesakit tidak keseorangan dalam perjuangan mereka.
“Mereka mempunyai komuniti yang sentiasa memberi sokongan dan memahami cabaran yang dilalui,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelepasan peserta di Taman Awam Teluk Likas, pada Ahad.
Menurut Jacqueline, Kinabalu Pink Ribbon secara konsisten menjalankan program kesedaran ke seluruh Sabah termasuk di Tawau, Keningau dan Tuaran, dengan kerjasama pakar perubatan dari Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Dalam pada itu, beliau memaklumkan satu majlis makan malam amal iaitu Sabah Kinabalu Pink Ribbon Charity Dance Dinner akan diadakan pada 7 Jun ini di Putra Ballroom bagi mengumpul dana pembelian mesin Lymphedema bernilai RM12,000.
“Mesin ini sangat penting untuk membantu bekas pesakit yang mengalami pembengkakan lengan akibat pembuangan nodus limfa. Buat masa ini, tiada mesin seperti itu di Sabah dan kami berharap dapat merealisasikan pembelian tersebut,” jelasnya.
Katanya lagi, Kinabalu Pink Ribbon kini mempunyai lebih 500 ahli yang sebahagian besarnya terdiri daripada pesakit dan bekas pesakit kanser payudara.