Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 34 tahun dihukum penjara lapan tahun dan tiga kali sebatan rotan kerana berulang kali mengambil syabu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Hairul Adam yang mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.
Hairul didapati mengambil dadah pada jam 10 pagi, 27 Mei 2024 selepas ujian air kencingnya di Balai Polis Ranau menunjukkan keputusan positif dadah, dan dia juga mempunyai satu rekod sabitan di bawah Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) atas beberapa sabitan berkaitan pengambilan dadah.
Kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(2)/39B ADB itu g memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 13 tahun serta sekurang-kurangnya tiga sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Hairul menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selepas tamat tempoh penjara.
Semasa mitigasi, Hairul yang tidak diwakili memohon hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai keluarga untuk dijaga.
Hairul turut berjanji bahawa sebaik sahaja dibebaskan daripada penjara, dia tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat atas dasar Hairul tidak menunjukkan keinsafan kerana berulang kali mengambil dadah dan tidak menyesal atas perbuatannya.