Kota Kinabalu: Lima pendatang asing tanpa izin yang masuk ke negeri ini tanpa sebarang dokumen dijatuhi hukuman penjara selama beberapa bulan setiap seorang.
Mereka ialah Junsar Julbin, Omar Amir, Radzfel Adjajul, Akenu Abdu dan Albidi Idjirani.
Pendatang tanpa izin berusia antara 22 hingga 46 tahun itu mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hurman Hussain atas pertuduhan dihadapi mereka.
Mereka ditangkap di beberapa lokasi berbeza seperti di kawasan Sulaman dan sekitar bandaraya pada April tahun ini kerana memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
Mereka ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan semasa operasi yang dijalankan oleh pihak Imigresen di kawasan terbabit.
Kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.
Semasa mitigasi, mereka merayu hukuman ringan dan meminta agar dihantar pulang ke negara asal secepat mungkin.
Mereka memberitahu mahkamah bahawa mereka mempunyai keluarga untuk ditanggung dan bekerja di negeri ini sebagai buruh, nelayan, tukang kayu dan tukang kebun.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara mereka bermula dari tarikh tangkapan.
Selepas selesai menjalani hukuman penjara, kesemua pendatang asing tanpa izin itu diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Pegawai Pendakwa Yolanda Ismail Uvaraj dari Jabatan Imigresen mengendalikan pendakwaan.