Kota Kinabalu: Sambutan Pesta diperluas tidak hanya untuk komuniti Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR), malah kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2025 berkata, Pesta Kaamatan tahun ini akan membuka ruang kepada semua lapisan masyarakat selaras dengan temanya, “Kaamatan Untuk Semua”.
Beliau berkata, selain pertandingan Sugandoi dan Unduk Ngadau, pelbagai pertandingan lain turut diadakan seperti pertandingan memasak, hospitaliti dan kraftangan.
“Kali ini, Pesta Kaamatan tidak hanya dihadikan sebagai Pesta Menuai, tetapi juga sebagai pesta menanam di mana tujuh jenis tanaman herba yang semakin pupus akan ditanam sepanjang pesta itu.
“Aktiviti ini merupakan salah satu usaha bagi mengelakkan spesis tanaman herba yang bernilai dan berharga.
“Selain persembahan kebudayaan, Pesta Kaamatan kali ini dijadikan sebagai medan dialog di mana program dialog antara budaya (Intercultural Dialogue) yang akan membincangkan budaya tempatan melibatkan negara luar.
“Dialog ini akan membincangkan bagaimana kita boleh meraikan bersama atau memahami budaya selain dari budaya kita. Buat masa ini kita telah mengadakan dialog bersama Indonesia, Korea dan jiran kita Filipina,” katanya.
Dr Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata demikian pada Selasa selepas rakaman rancangan bersama RTM Sabah di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri.
Sementara itu, seramai 21 peserta akan berentap merebut gelaran juara dalam Pertandingan Manangon, Monusuya, Roisol Digital dan Bersemuka sempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di Hongkod Koisaan pada 25 Mei ini.
Pengerusi pertandingan Rayner F. Udong berkata selepas membuat proses pengadilan selama tiga hari, jawatankuasa pertandingan Manangon, Susuyan, Roisol memilih 21 peserta untuk bertanding di peringkat akhir yang disiarkan secara langsung di Facebook dan TVsabah.
“Mereka terdiri daripada 21 peserta iaitu tujuh murid Tahap 1, tujuh lagi murid Tahap 2 serta tujuh pelajar sekolah menengah yang mara ke peringkat akhir.
“Finalis perlu diiringi oleh seorang guru dari sekolah masing-masing dan semua rakaman video bercerita dikongsikan di Facebook dan TVsabah untuk tontonan awam.
“Penyertaan pertandingan Manangon, Monusuyan dan Roisol dijalankan secara rakaman video bercerita dalam durasi 3 hingga 5 minit (Tahap 1), 1 hingga 7 minit (Tahap 2) yang dihantar secara atas talian (online) kepada jawatankuasa pertandingan,” katanya.
Tambahnya, majlis perasmian penutupan dijangka disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Jeffrey Datuk Kitingan merangkap Pengerusi Induk Jawatankuasa Pesta Kaamatan Negeri 2025. Beliau juga akan menyampaikan hadiah kepada pemenang.
“Johan bagi kategori Sekolah Rendah Tahap 1, Tahap 2 dan Sekolah Menengah masing-masing akan menerima RM1,000 dengan trofi, jambangan bunga serta sijil penghargaan.
“Naib johan pula bakal memenangi RM800 beserta trofi, jambangan bunga dan sijil dan tempat ketiga akan membawa pulang RM500 bersama trofi, jambangan bunga dan sijil.
“Empat pemenang saguhati juga masing-masing akan menerima RM100 dengan trofi, jambangan bunga dan sijil,” katanya.
Rayner berkata, pertandingan Manangon, Monusuyan dan Roisol penting untuk memulihara, mengembang dan menguasai bahasa ibunda dan dialek-dialek sukuan lain sebagai saluran menyemai semangat cinta bahasa tersebut dalam kalangan generasi muda.
“Langkah ini juga untuk menggalakkan golongan muda untuk menguasai pertuturan dan penulisan dalam bahasa Kadazandusun yang piawai, berasaskan dialek Bundu-Liwan dan diperkayakan dengan dialek-dialek yang lain,” katanya.
KDCA menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, institusi-institusi pengajian tinggi dan Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF) bagi mengorak langkah menganjurkan Pertandingan Manangon, Monusuyan dan Roisol dalam Bahasa Kadazandusun sempena sambutan Pesta Kaamatan Negeri,
“Pertandingan Manangon diadakan sejak 2018, Monusuyan bermula pada 2021 dan Pertandingan Roisol dilaksanakan mulai tahun ini.
“Pada 2023, 2024 dan tahun ini, Jabatan Pendidikan terlibat secara langsung. Justeru itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah dilantik Pengerusi Bersama mesyuarat AJK Pelaksana dengan Timbalan Pengarah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Bersama,” katanya.
Tambahnya, pertandingan Manangon dan Monusuyan merupakan saluran terbaik dan efektif bagi memastikan bahasa-bahasa etnik, khususnya rumpun Bahasa Dusunik, Murutik dan Paitinik (DMP) dapat terus dipelihara dan dikembangkan agar tidak pupus ditelan zaman.