Tuaran: Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kepada parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bahawa tiada gunanya meminta kerusi dalam pilihan raya negeri Sabah akan datang, jika mereka tiada peluang untuk menang.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS itu berkata gabungan tersebut terbuka untuk meletakkan calon dari mana-mana parti komponennya, asalkan mereka berpotensi untuk menang.
Beliau berkata keutamaan gabungan itu adalah untuk memastikan calonnya boleh meraih sokongan rakyat dan mendapat kemenangan untuk GRS.
“Kita tengok keadaan. Ini soal kalau kita letak calon, calon itu mesti adalah calon yang boleh menang.
“Kita tidak kira dari parti mana, yang penting boleh menyumbang kemenangan kepada GRS.
“Jadi, kalau kita minta kerusi tetapi tidak boleh menang, susah juga. Jadi, kita mesti menerima hakikat ini,” ujarnya.
Beliau membuat kenyataan itu ketika timbul soal ketegangan dalam gabungan tersebut, khususnya dengan parti komponen Usno, yang menyuarakan rasa tidak puas hati kerana terasa dipinggirkan, dan mengugut untuk meninggalkan gabungan lapan-parti itu untuk bertanding secara bebas.
Presiden Usno Tan Sri Pandikar Amin Mulia mendakwa sesetengah pemimpin GRS menolak hak Usno untuk menuntut kerusi biarpun dengan usahanya di peringkat akar umbi.
Kedua-dua pemimpin juga mengulangi gesaan mereka untuk suatu mesyuarat perpaduan membabitkan semua parti berpangkalan di Sabah, bukan hanya komponen GRS.
Sementara itu, Hajiji berkata, GRS belum memuktamadkan agihan kerusi dalam kalangan parti, termasuk menentukan mana-mana parti yang akan bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Beliau berkata jumlah sebenar agihan kerusi parti dalam kalangan GRS termasuk Pakatan Harapan (PH) belum ditentukan.
“Ini belum lagi final, agihan kerusi antara kita pun belum final dan juga kerjasama agihan kerusi dengan PH pun belum dimuktamadkan.
“Kalau dekat-dekat nanti pilihan raya atau sudah bubar, barulah kita boleh cakap dapat dimuktamadkan,” katanya.
Hajiji ditemui selepas merasmikan Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli-ahli Majlis Daerah Tuaran Bagi Tahun 2025-2027 di Shangri La Rasa Ria Resort, Tuaran, Khamis.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; Adun Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, Adun Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya dan Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging.
Beliau diminta mengulas jumlah agihan kerusi dan parti yang akan memberi kerjasama susulan pertemuan selama tiga jam bersama beberapa pemimpin parti komponen GRS yang diadakan di Sri Gaya pada Rabu.
Selepas pertemuan itu, Hajiji mengeluarkan kenyataan disertai gambar, mendakwa semuanya baik dalam gabungan itu.
“Ada mungkin memanggilnya ketegangan, tetapi itu bukan ketegangan sebenarnya – lebih seperti pertukaran pendapat. Kami sentiasa berbincang kepentingan gabungan kami, khususnya sementara kami bersedia untuk pilihan raya seterusnya.
“Jika ada perbezaan pendapat, itu perkara biasa dalam politik. Apa yang penting adalah kami tetap bersatu demi kepentingan gabungan dan Sabah,” katanya.