LABUAN: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak harus tergesa-gesa untuk mendapatkan kerusinya di Dewan Rakyat, sebaliknya menunggu semua proses rayuan terhadap pemecatan beliau daripada keahlian parti diselesaikan.
“Perjalanan masih jauh lagi. Saya telah mengarahkan peguam saya untuk memfailkan rayuan, dan jika perlu, membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Beliau merujuk kepada surat Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, untuk mengisytiharkan kerusi Labuan kosong.
Suhaili menegaskan bahawa beliau tidak meninggalkan parti. Sebaliknya “parti yang meninggalkan saya,” katanya.
“Malangnya parti tidak nampak ini. Saya menyokong Perdana Menteri kerana dasar yang baik, dan sokongan itu akan memanfaatkan rakyat Labuan di mana saya berkhidmat,” katanya.
Beliau berkata Bersatu, daripada leka mahu menyingkirkannya, lebih baik menumpukan usaha pada cabaran negara dan penyelesaiannya, “kerana saya akan berjuang sampai habis.”
Katanya, jika kerusinya diisytihar kosong sekali pun, ia tidak akan mengubah apa-apa untuk Bersatu. Parti itu hanya boleh membentuk kerajaan selepas PRU16.
Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini menolak saman yang difailkan Suhaili terhadap Bersatu. Suhaili merupakan antara enam Ahli Parlimen Bersatu yang dilucutkan keahlian.
Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Labuan selama dua penggal (1999 dan 2004), dan kembali bertanding dalam PRU lalu atas tiket Perikatan Nasional, mematahkan penguasaan Umno di Labuan.
Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 708 undi, menewaskan Datuk Basir Alias dari Umno yang meraih 7,416 undi.