Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kini mampu mengutip sehingga 25 tan sampah sehari di perairan sekitar Kota Kinabalu menerusi penggunaan bot pengutip sampah atau ‘bot skimmer’, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi pembersihan laut.
Mayor Kota Kinabalu Datuk Seri Sabin Samitah berkata penggunaan bot skimmer itu akan meningkatkan jumlah kutipan sampah berbanding kaedah manual sebelum ini yang hanya menggunakan bot kecil dan jaring.
“Penggunaan bot skimmer ini membolehkan DBKK mengutip lima tan sampah dalam satu perjalanan. Dalam sehari, bot ini boleh membuat lima perjalanan ulang-alik, menjadikan jumlah kutipan mencecah 25 tan sehari.
“Ini sudah tentu meningkatkan kutipan sampah di perairan kerana sebelum ini kita hanya menggunakan bot kecil dan jaring saja, jadi boleh dikatakan terlalu tradisional,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Mobula Skimmer Boat di perairan Pulau Gaya, di sini, pada Rabu.
Menurut Sabin, kerjasama dengan pelbagai pihak itu amat penting dalam usaha menangani isu pencemaran laut, kerana kerajaan tidak mampu melaksanakannya secara bersendirian.
“Jika sampah tidak diurus dengan baik, mungkin pelancong tidak akan datang lagi. Jadi kita tak mahu itu berlaku di Kota Kinabalu.
“Justeru satu memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai antara DBKK dan Marine Research Foundation (MRF) bagi memperkenalkan penggunaan bot skimmer ini,” katanya.
Sabin berkata, dengan penambahan sebuah lagi bot dikenali sebagai Mobula yang diambil sempena nama ikan pari, beliau berharap akan memiliki dua lagi bot skimmer sebelum hujung tahun ini.
“Selain penggunaan kaedah bot skimmer ini, DBKK juga telah memulakan projek pembersihan laut secara besar-besaran pada tahun ini.
“Jadi satu bot skimmer kita sudah ada, kita harap kita ada dua lagi bot yang sama untuk tujuan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Eksekutif MRF Dr Nicolas J Pilcher berkata, data yang dikumpulkan daripada operasi bot skimmer itu akan digunakan untuk mengenal pasti jenis dan jumlah sisa plastik yang terapung di laut.
“Data ini penting untuk merangka program intervensi yang lebih tepat. Bila kita tahu jenis plastik dan jumlahnya, kita boleh laksanakan dasar atau kempen yang lebih berkesan.
“Kita sudah lihat kejayaan awal melalui inisiatif pengurangan penggunaan beg plastik di sekitar Kota Kinabalu yang memberi impak positif terhadap pengurangan sampah di laut,” katanya.