PENYANYI popular Elizabeth Tan atau lebih dikenali sebagai Lizzy bergabung dengan empat bakat dari Sabah, Elica Paujin, Gretchene Quirina, Ryenald Guntabid dan SMDX, menerusi lagu bertemakan Kaamatan, Kotobian Tadau Kaamatan.
Mengangkat tema rasmi Kaamatan 2025, “Kaamatan untuk Semua”, lagu terbitan XIOKK Entertainment ini bukan sekadar karya muzik tetapi satu penghormatan kepada kepelbagaian budaya dan warisan tempatan.
Gabungan rentak pop moden dengan elemen muzik tradisional Kadazan-Dusun-Murut dan Rungus menjadikan karya ini unik dan merentas genre, sesuai dengan semangat perpaduan dan keterangkuman yang menjadi inti pati perayaan Kaamatan.
“Lagu ini bukan sekadar perayaan — ia simbolik kepada perpaduan, jati diri dan penghargaan terhadap akar budaya kita,” kata Ryenald Guntabid yang turut bertindak penulis lirik.
Dengan lirik dan melodi yang menyentuh perasaan, Kotobian Tadau Kaamatan menggambarkan nilai kebersamaan dan kepentingan meraikan kepelbagaian.
Diterbitkan bertepatan dengan musim Pesta Kaamatan, ia menyentuh hati masyarakat yang meraikan semangat menuai, kekeluargaan dan kesyukuran — menghidupkan nostalgia balik kampung, pertemuan keluarga serta momen menjamu selera bersama insan tersayang.
Lagu ini dihasilkan oleh Sa.tugram yang turut bertindak sebagai penerbit vokal, penggubah lagu, penulis lirik, pengatur muzik dan jurutera rakaman. Turut terlibat dalam penulisan lagu ialah Melakaboy, Ryenald Guntabid, dan Gretchene Quirina — menjadikan karya ini simbol semangat kolektif dan kebersamaan suara dari pelbagai latar.
Video muziknya diarahkan secara sinematik oleh Elvin Romeo, dibantu oleh Ivan Hiew dan diterbitkan oleh Al Hanafi Juhar, menampilkan visual budaya yang kaya dengan warna, emosi dan semangat Kaamatan.
Kotobian Tadau Kaamatan dilancarkan secara rasmi pada Jumaat di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.