Kota Kinabalu: Kerajaan komited untuk memperkasa wanita khususnya ibu dari segenap lapisan masyarakat, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Bercakap pada Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan di sini, pada Ahad, Nancy menekankan beberapa usaha sedang giat dilaksanakan, termasuk pelancaran Dasar Wanita Negara 2025–2030 yang bertemakan ‘Memartabat Wanita, Mengukuh Negara’.
“Tahun ini kerajaan juga mengadakan program utama yang menyokong wanita dan ibu seperti Program Kasih Ibu Tunggal (PROKIT), Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (IKIT), Mamacare dan Program Wanita Bangkit, serta 2 Years Exit Programme, Gig@bit dan Volvo iron Women,” katanya.
Menurut beliau, kesemua program itu bertujuan untuk memberi ruang kepada ibu tunggal dan tidak bekerja untuk mendapatkan latihan dan peluang pekerjaan bersesuaian.
“Dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan, KPWKM melalui LPPKN menyediakan pelbagai program seperti pendidikan keibubapaan, khidmat kaunseling dan terapi minda serta saringan kesihatan wanita seperti HPV DNA dan subsidi mamogram,” katanya.
Nancy berkata masih ramai ibu terutamanya ibu muda yang berumur bawah 34 tahun, menghadapi cabaran yang tidak kelihatan dengan mata kasar,“Satu pertiga wanita di Malaysia adalah dalam golongan ini dan golongan ibu muda inilah yang berpotensi besar dan memerlukan sokongan menyeluruh daripada semua pihak.
“Hasil tinjauan sempena Hari Ibu tahun lalu mendapati sembilan daripada sepuluh ibu mengakui bahawa menjadi ibu hari ini jauh lebih mencabar kerana kos sara hidup yang tinggi, tekanan kerja dan keluarga, kekangan kewangan, kekurangan masa untuk diri sendiri dan beban tanggungjawab pendidikan anak-anak,” katanya.
“Saya percaya ramai ibu yang hadir di sini melalui rutin yang sangat mencabar, bangun awal pagi, bekerja tanpa henti, dan tidur lewat malam, semata-mata untuk memastikan keperluan keluarga sentiasa dipenuhi.
“Semoga semua ibu diberi kekuatan, kesihatan dan kebahagiaan di atas semua pengorbanan dan kasih sayang yang tidak ternilai,” katanya.
Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Faridah Tussin dan isteri Ketua Menteri Datin Seri Juliah Salag.
Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025 diraikan dengan tema ‘Sentuhan Kasih Ibu’ bagi mengangkat peranan ibu sebagai asa keluarga penyayang.
Dalam majlis itu, turut disampaikan Anugerah Inspirasi Ibu kepada penerima Kasmirah Jaafar yang merupakan ibu tunggal yang mempunyai lima anak, dan Anugerah Ikon ibu Muda, Dayang Nabellah Awang Astillah, ibu tunggal yang mempunyai dua anak.