LAHAD DATU: Empat lelaki dikhuatiri hilang selepas memasuki hutan Tamaco di Tungku untuk mencari hasil hutan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.02 pagi Isnin daripada Balai Polis Tungku untuk bantuan mengesan salah seorang lelaki itu yang dikenali sebagai Fendery Ani, 37.
Menurut laporan yang dibuat oleh sepupu mangsa, mangsa memasuki hutan kira-kira jam 4 petang pada 8 Mei bersama tiga rakannya untuk mencari hasil hutan.
Bagaimanapun, mangsa dan rakan-rakannya masih belum pulang sehingga Ahad dan usaha menghubungi mangsa melalui telefon bimbit gagal kerana panggilan tidak dijawab.
Pada 11 Mei, pengadu menghubungi penyelia mangsa memaklumkan bahawa mangsa perlu kembali bekerja, namun tidak dapat dihubungi.
Jabatan itu memaklumkan, satu pasukan anggota Bomba dan Penyelamat sedang menuju ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat terperinci dan mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).
Setakat laporan ini, maklumat mengenai rakan-rakan mangsa masih belum diperoleh dan jabatan akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa.