Kota Kinabalu: Presiden Borneo’s Plight in Malaysia Foundation, Daniel John Jambun menggesa Kerajaan Negeri agar melaksanakan reformasi terhadap Mahkamah Anak Negeri agar ia menerima pengiktirafan undang-undang dan sokongan institusi yang setaraf dengan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.
Beliau mengkritik kurangnya kemajuan dalam memperkukuh Mahkamah Anak Negeri walaupun sudah lima tahun di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Apa reformasi yang telah dilakukan untuk memprofesionalkan Mahkamah Anak Negeri atau Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri? Jawapannya, malangnya, tiada,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menyatakan bahawa usaha terdahulu untuk mereformasi mahkamah tersebut di bawah kerajaan pimpinan Warisan telah dihentikan selepas perubahan kepimpinan pada 2020.
“Hal Ehwal Anak Negeri, yang mentadbir adat dan tradisi undang-undang masyarakat peribumi bukan-Islam Sabah, kini dikendalikan oleh pegawai Muslim yang kurang kepakaran dalam undang-undang adat.
“Ini tidak adil dan bertentangan dengan Perlembagaan. Mahkamah Syariah dikendalikan oleh profesional Muslim yang berkelayakan, namun peribumi bukan-Islam dinafikan autonomi yang sama ke atas undang-undang adat mereka sendiri,” katanya.
Beliau menjadikan Sarawak sebagai contoh, di mana Majlis Adat Istiadat Negeri Sarawak beroperasi secara bebas, tanpa campur tangan Mahkamah Sivil atau Syariah.
Daniel mencadangkan beberapa reformasi termasuk menamakan semula dan menstruktur semula Majlis dan Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri supaya benar-benar mencerminkan peranan dalam menjaga adat masyarakat peribumi, serta melantik profesional peribumi yang layak – bukan tokoh politik – untuk menerajui institusi tersebut.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya Mahkamah Anak Negeri diangkat ke kedudukan yang setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Syariah dalam sistem kehakiman Sabah, serta menubuhkan Suruhanjaya Reformasi Bebas bagi mengkaji dan memodenkan Mahkamah Anak Negeri.
“Kami bukan menuntut layanan istimewa. Kami menuntut kesaksamaan seperti yang dijanjikan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Beliau berkata kelewatan berterusan hanya akan memperdalam diskriminasi dan menghakis hak masyarakat peribumi.
“Ini bukan isu partisan, ia berkait dengan keadilan, maruah dan mempertahankan warisan undang-undang Sabah,” katanya, menambah, “Sampai bila lagi komuniti kami perlu menunggu?”