TAWAU: Kerajaan Madani meluluskan peruntukan tambahan RM10 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan gerai tamu di seluruh Sabah menerusi Projek Siap Tamu Sabah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan tambahan berkenaan bertujuan memberi keselesaan kepada para peniaga di tamu terutama golongan ibu.
“Sempena sambutan Hari Ibu pada Ahad ini hadiah kepada para ibu yang ramai berniaga di Tamu Desa supaya penambahbaikan yang dilakukan dapat memberi lebih keselesaan agar dapat berniaga dengan lebih selesa.
“Saya tidak mahu menjadi perdana menteri yang melupakan kesusahan rakyat. Sebab itu kita sentiasa berusaha sedaya upaya membangunkan Sabah daripada pelbagai aspek termasuklah teknologi kecerdasan buatan (Al), digitalisasi serta usaha menoktahkan kemiskinan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau pada Ahad.
Beliau turut mengumumkan peruntukan lebih RM350 juta untuk melaksanakan Program Solar Madani sekali gus menjadikan Tawau sebagai lokasi projek rintis yang melibatkan pemasangan 40 tiang lampu solar hasil kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan penglibatan komuniti setempat.
Dalam ucapannya Anwar juga memaklumkan setakat ini kerajaan persekutuan telah melaksanakan 144 projek pembangunan di Sabah dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM14 bilion termasuk projek kerja-kerja menaik taraf Hospital Tawau dan Penjara Lahad Datu, pembinaan pelabuhan kontena di Sepanggar Bay serta cadangan pembinaan sebuah pusat perubatan jantung di Kota Kinabalu.
Mengenai penganjuran PMR 2025 Sabah yang bertemakan “Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan,” beliau mahu program tersebut sebagai ruang untuk golongan muda melontarkan pandangan dan cadangan kepada pembinaan Malaysia yang hebat dan maju.
“Ini satu pendedahan kepada rakyat tentang apa yang telah dan sedang dilakukan kerajaan sama ada dalam sektor pertanian, digital mahupun pertahanan.
“Jadikan platform ini sebagai ruang pemantauan agar anak muda turut boleh memberi pandangan dan cadangan demi membina Malaysia yang hebat dan maju,” ujarnya.
PMR 2025 Sabah merupakan inisiatif kerajaan melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) dengan kerjasama strategik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dan kerajaan Sabah yang berjaya merekodkan jumlah pengunjung seramai 148,697 selama tiga hari program.
Pada majlis itu Anwar diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajji Noor dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick turut melancarkan satu lagi inisiatif berimpak tinggi di bawah aspirasi Malaysia Madani iaitu Program Solar Madani.
Program itu merupakan cetusan iltizam perdana menteri yang telah bersetuju agar projek ini dilaksanakan di seluruh negara khususnya bagi menambah baik infrastruktur asas dan meningkatkan keselamatan komuniti luar bandar.
Turut disampaikan Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah kepada lima usahawan ‘zero to hero’ yang mendapat bimbingan daripada agensi-agensi kerajaan sehingga berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Turut hadir dalam majlis berkenaan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Sains, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.