Fri, 12 Jun 2026
Headlines:
Sabah perlu 120,000 unit darah setahun: Hajiji
Published on: Wednesday, May 14, 2025
Published on: Wed, May 14, 2025
By: Hayati Dzulkifli
Text Size:
Text:
Sabah perlu 120,000 unit darah setahun: Hajiji
SHAHELMEY (tengah) bersama Dr Maria (kanan) berbual dengan seorang penderma darah pada acara itu.
Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu lebih banyak program dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menderma darah.

“Saya dimaklumkan bahawa keperluan darah harian di Sabah adalah sebanyak 300 unit, dan setiap tahun, kita memerlukan kira-kira 110,000 hingga 120,000 unit darah untuk memenuhi keperluan pesakit. 

Advertisement
“Namun, sehingga kini, hanya 75,000 unit berjaya dikumpulkan setiap tahun,” katanya semasa sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri 2025 dan program derma darah yang diadakan di lobi utama Hospital Queen Elizabeth (HQE) II, di sini, Selasa.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Beliau berkata, kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan sektor awam mampu meningkatkan kesedaran tentang pendermaan darah dan menarik lebih ramai orang awam untuk menjadi penderma tetap.

“Sesungguhnya, menderma darah secara sukarela membantu menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.

Advertisement
Hajiji berkata, memandangkan kualiti sistem penjagaan kesihatan sangat bergantung kepada kualiti tenaga kerja kejururawatan, pelaburan dalam latihan, kebajikan dan pembangunan kerjaya jururawat adalah penting bagi menjamin kelestarian sistem kesihatan negara.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sentiasa menghargai dan menyokong para jururawat yang berkhidmat di Sabah yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi menjaga kesihatan rakyat. 

Advertisement
“Saya berharap semua jururawat akan terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan, khususnya di negeri ini,” katanya.

Ketua Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada jururawat yang disifatkan sebagai tulang belakang sistem kesihatan negara.

“Sambutan Hari Jururawat bukan sekadar acara simbolik tetapi satu pengiktirafan besar terhadap golongan yang menjadi tunjang kepada sistem penjagaan kesihatan negara — iaitu jururawat kita.

“Selaras dengan tema tahun ini, ‘Jururawat Kita Masa Depan Kita: Prihatin Terhadap Jururawat Mengukuhkan Ekonomi’, peranan jururawat bukan sekadar sebagai ‘penjaga pesakit’ di hospital – malah mereka adalah pemangkin kesejahteraan komuniti, pendidik kesihatan dan petugas barisan hadapan dalam menangani krisis kesihatan,” katanya.

Ketua Menteri turut mengimbas kembali peranan luar biasa jururawat semasa pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu, bukan sahaja dari aspek rawatan dan pemantauan, malah turut memberi sokongan emosi dan moral kepada pesakit dan ahli keluarga mereka.

“Ada yang terpaksa berpisah dengan keluarga, pasangan dan anak-anak demi menjalankan tanggungjawab ketika itu.

“Sesungguhnya, mereka adalah wira tidak didendangkan, yang tetap tabah dan cekal bekerja dalam pelbagai keadaan mencabar, sama ada di wad, unit kecemasan, klinik kesihatan luar bandar mahupun di kawasan bencana,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Sabah Dr Maria Suleiman, Ketua Penyelia Jururawat Negeri, Matron Damica Kunsiong, Pengarah HQE II Dr Ferro Firdaus Ibrahim dan Ketua Jabatan Perubatan Transfusi HQE II Dr Shahnaz Irwani Sabri.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here