Kota Kinabalu: Sektor pertanian Sabah mencatat pencapaian penting dengan pelancaran rasmi penghantaran eksport pertama nanas MD2 ke Singapura, sekali gus menandakan peranan negeri ini yang semakin berkembang dalam eksport hasil pertanian premium.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan di KPD Avenue, Tanjung Lipat.
Penghantaran tersebut diselaraskan oleh Aqina Borneo Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Aqina yang berpangkalan di Johor, dan mencerminkan keupayaan Sabah untuk menembusi pasaran hasil pertanian segar antarabangsa dengan tanaman bernilai tinggi.
Jeffrey menyifatkan eksport ini sebagai satu pencapaian penting, bukan sahaja untuk sektor pertanian komersial di Sabah, tetapi juga dari segi potensinya untuk meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar melalui program berasaskan pertanian inklusif.
“Ini bukan sekadar aktiviti eksport — ia membuktikan Sabah berpotensi menjadi pemain utama dalam rantaian bekalan pertanian global.
“Projek sebegini mencipta peluang pekerjaan, memperkasakan komuniti tempatan dan memanfaatkan tanah terbiar secara produktif, suatu pendekatan menyeluruh untuk keterjaminan makanan dan pembangunan luar bandar,” katanya.
Jordan Chua, mewakili Kumpulan Aqina, berkata syarikatnya berbangga dapat menghantar hasil berkualiti tinggi dari Sabah ke pasaran Singapura, dan komited untuk mengembangkan capaian serantau melalui pertanian mapan berasaskan komuniti.
“Kami berbangga dapat mengeksport penghantaran pertama nanas MD2 ke Singapura hari ini.
“Ini menandakan lembaran baharu bukan sahaja untuk Aqina Borneo tetapi juga landskap pertanian Sabah.
“Matlamat kami adalah untuk terus berkembang secara mampan sambil menyumbang kepada keterjaminan makanan serantau dan memperkasakan rakan komuniti kami,” katanya.
Nanas MD2 tersebut ditanam di atas tanah seluas 123 ekar di Lingkungan, Beaufort. Ladang ini merupakan sebahagian daripada kawasan seluas 400 ekar yang dipajak daripada Korporasi Pembangunan Desa (KPD) sejak 2021.
Aqina Borneo menggaji 30 pekerja tempatan dan menyokong 11 peserta golongan B40 di bawah program pertanian kontrak, dengan setiap peserta mengusahakan lima ekar tanah.
Chua menjelaskan bahawa varieti MD2 amat dihargai kerana rasa manis yang konsisten, jangka hayat panjang, serta permintaan tinggi di pasaran global.
“Dengan mematuhi kawalan kualiti ketat dan piawaian antarabangsa, eksport ini menandakan permulaan kemasukan Sabah ke pasaran buah tropika yang kompetitif di Asia Tenggara,” katanya.
Jeffrey turut menegaskan Kerajaan Negeri komited untuk menyokong usahawan agro dan pelabur yang berminat dalam tanaman bernilai tinggi menerusi kemudahan akses tanah, infrastruktur dan dasar mesra pelabur.
“Dengan perancangan rapi dan kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta, Sabah boleh menjadi model pertanian yang mampan, inklusif dan berorientasikan eksport di rantau ini,” katanya.
Dengan penghantaran kontena pertama ke Singapura, pemegang taruh optimis inisiatif ini akan membuka jalan kepada peningkatan pengeluaran dan peluasan destinasi eksport dalam masa terdekat.
Turut hadir, Pembantu Menteri Maffi Negeri, Datuk Hendrus Anding dan Datuk Peto Galim, Pengerusi KPD Jannie Lasimbang, Setiausaha Tetap Datuk Leonard Stephen Poyong, Timbalan Setiausaha Tetap Maria David Edick, Pengerusi Aqina Borneo Sdn Bhd Datuk Tan Chin Long, Pengarah Aqina Borneo Sdn Bhd John Chak Lee Cheng dan Pengurus Besar KPD Jamilah Lee.