KALABAKAN: Proses reka bentuk pembinaan klinik kesihatan baharu untuk penduduk Pulau Sebatik sudah selesai dengan nilai dana berganda kepada RM49 juta berbanding RM20 juta, sebelum ini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata penambahan dana itu dibuat selepas penilaian semula mengikut reka bentuk yang disiapkan.
“Peruntukan asal RM20 juta diluluskan pada 2019 untuk membina Klinik Kesihatan Sungai Tamang Jenis Enam di Kampung Sg Tamang.
“Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Kesihatan merancang semula pembangunannya kepada dua fasa selepas mendapati peruntukan yang diperlukan lebih tinggi dari dana asal,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembangunan di Sebatik, kawasan pulau perbatasan Malaysia-Indonesia, di sini, pada Isnin.
Hadir sama Ahli Parlimen Kalabakan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Adun Sebatik Datuk Hassan A Gani Pg Amir.
Shahelmey berkata fasa pertama projek membabitkan pembinaan bangunan klinik manakala fasa kedua membabitkan penyediaan kuarters dan utiliti lain.
“Fasa pertama sudah boleh dipanggil tender pada suku ketiga tahun ini (September) melibatkan peruntukan lebih RM30 juta dan selebihnya untuk fasa kedua,” katanya.
Beliau berharap kerja-kerja pembinaan untuk fasa pertama projek dapat dimulakan samaada sebelum akhir tahun ini atau pada awal tahun hadapan.
Menurutnya lagi, projek yang sudah tertangguh lama akibat faktor perancangan, peruntukan dan teknikal itu akan dipantau rapi untuk memastikan kerja pembinaannya sesuai perancangan.
Ketika ini Klinik Kesihatan Sg Tamang yang memberi perkhidmatan kepada kira-kira 25,000 penduduk Sebatik beroperasi sementara dengan menumpang bangunan di Kg Sg Tongkang yang sudah uzur.
Penduduk juga terpaksa menaiki bot penambang selamat 45 minit hingga sejam merentasi perairan Teluk Cowie ke Jeti Awam Tawau jika mahu mendapatkan rawatan di Hospital Tawau.