Kota Kinabalu: Mahkamah Khas Rasuah menetapkan 23 Jun tahun ini untuk sebutan lanjut kes membabitkan tiga kakitangan perubatan yang didakwa menggunakan dokumen palsu bagi menuntut bayaran lebih masa.
Hakim Jason Juga menetapkan tarikh itu bagi Jururawat Naliah Saliwat, 38, penolong pegawai perubatan Aemy Melanie Elon, 34, dan Junior Justin, 35, sementara menunggu keputusan surat representasi ketiga-tiga itu dari pejabat pendakwa raya di Putrajaya.
Mahkamah dimaklumkan bahawa ketiga-tiga mereka telah mengemukakan surat representasi kedua bagi mengurangkan jumlah pertuduhan mereka di bawah Seksyen 471/465 Kanun Keseksaan.
Pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa keputusan mengenai surat representasi itu masih belum diperolehi.
Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili memberitahu mahkamah bahawa mereka tiada apa-apa untuk dikatakan.
Naliah menghadapi sembilan pertuduhan, Aemy menghadapi 14 pertuduhan, manakala Junior mempunyai sembilan pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama hingga kelapan, Marvilta didakwa menggunakan dokumen palsu untuk menuntut bayaran lebih masa antara 1 Disember 2020 hingga 1 Julai 2021 dengan jumlah keseluruhan RM24,482.88.
Sementara itu, Naliah bagi pertuduhan pertama hingga kesembilan, didakwa menggunakan dokumen palsu untuk menuntut bayaran lebih masa antara 17 Julai 2020 hingga 12 Ogos 2021 dengan jumlah keseluruhan RM29,100.82.
Aemy pula bagi pertuduhan pertama hingga ke-14 didakwa menggunakan dokumen palsu untuk menuntut bayaran lebih masa antara 7 April 2020 hingga 5 Ogos 2021 dengan jumlah keseluruhan RM41,922.94.
Junior bagi pertuduhan pertama hingga kesembilan didakwa menggunakan dokumen palsu untuk menuntut bayaran lebih masa antara 17 Julai 2021 hingga 12 Ogos 2021 dengan jumlah keseluruhan RM36,155.51.
Pertuduhan menyatakan bahawa ketiga-tiga mereka yang merupakan kakitangan di Klinik Kesihatan Inanam, di sini, didakwa mengemukakan dokumen palsu antaranya Jadual Extended Hours, salinan Jadual Bertugas Perkhidmatan Lanjutan Klinik Inanam, senarai nama petugas bertugas on-call, dan salinan Kad Perakam Waktu.
Kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan jaminan mereka dilanjutkan sementara menunggu tarikh sebutan.
Sementara itu, seorang lagi jururawat Marvilta Michael Poudi, 36, yang menghadapi lapan pertuduhan menggunakan dokumen palsu, akan dibicarakan pada 25 dan 26 Ogos tahun ini.
Peguam Sylester Kuan yang mewakili Marvilta berkata beliau menerima arahan daripada anak guamnya untuk meneruskan perbicaraan.
Bagi pertuduhan pertama hingga kelapan, Marvilta didakwa menggunakan dokumen palsu untuk menuntut bayaran lebih masa antara 1 Disember 2020 hingga 1 Julai 2021 dengan jumlah keseluruhan RM24,482.88.