Kota Kinabalu: Joyce Heng Shu Xia dari Sabah merangkul kejuaraan terbuka wanita di Kejohanan Gusti Lengan Antarabangsa Perlis yang diadakan pada Ahad di Kuala Perlis.
Joyce merupakan satu-satunya wakil negeri dalam pertandingan itu dan kemenangan itu menyaksikan dia membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.
Tempat kedua disandang oleh Nurul Ain Osman dan Nur Hidayu Nor Rongzi di tempat ketiga.
“Saya sangat gembira dengan gelaran ini dan malangnya rakan sepasukan negeri saya tidak dapat menyertainya kerana mereka komited untuk pertandingan tempatan yang diadakan di Kepayan pada hari yang sama,” katanya.
Joyce juga berkata pertandingan seterusnya ialah pada karnival sukan tradisional peringkat negeri yang akan diadakan di SMK Bahang, Penampang pada 24-25 Mei diikuti Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan di Melaka pada 18-21 Julai.