TAWAU: Polis menahan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun yang disyaki terlibat dalam lumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya kira-kira jam 3 petang pada Rabu.
Tindakan remaja terbabit menunggang motosikal dengan laju sebelum terjatuh semasa cuba memperagakan aksi lagak ngeri gaya ‘wheelie’ terakam menerusi video tular berdurasi lapan saat.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin dalam kenyataan medianya pada Khamis mengesahkan penahanan suspek di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
“Siasatan polis mendapati insiden yang terakam menerusi video tular di aplikasi media sosial itu berlaku di kawasan Jalan Chong Thien Vun kira-kira jam 11.30 malam pada Sabtu,” katanya.
Jasmin berkata suspek bersama sekumpulan penunggang motosikal lain yang berkumpul di kawasan jalan raya berkenaan disyaki melakukan aktiviti lumba haram pada malam kejadian.
Menurutnya paparan klip video menunjukkan suspek menunggang laju motosikal jenis kapcai dua lejang sambil membuat aksi wheelie sebelum hilang kawalan dan terhumban ke jalan raya.
“Remaja terbabit mengalami cedera di kaki, buku lali dan tangan namun sudah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta berdekatan akibat kemalangan terbabit,” katanya.
Mengulas lanjut Jasmin menyatakan siasatan lanjut mendapati remaja lelaki sama tidak mempunyai lesen memandu dan motosikal yang digunakannya semasa kejadian didapati milik rakannya.
Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 125ZR dan sebuah topi keledar berwarna merah dari sebuah kediaman di Tanjung Batu Laut yang disyaki digunakan oleh suspek.
Berikutan itu polis menjalankan siasatan terhadap suspek mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 26 (1) APJ 1987 dan Seksyen 90 (1) APJ 1987.