SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan mematahkan dua cubaan rentas sempadan dari Filipina dalam operasi berasingan di perairan timur laut Pulau Berhala pada Selasa.
Pengarah Zon Maritim Sandakan Kapten Maritim Muhamad Suhaiby Hussain berkata dalam insiden pertama sekitar pukul 11.49 pagi Kapal Maritim Pintar (KM Pintar) mengesan sebuah kapal mencurigakan kira-kira satu batu nautika dari Timur Laut Pulau Berhala yang dipercayai keluar dari Pulau Taganak, Filipina menuju ke perairan Malaysia.
“Pemeriksaan mendapati kapal berdaftar di bawah lesen kargo itu membawa 14 individu termasuk seorang tekong terdiri daripada 12 lelaki dan tiga wanita berumur antara lapan hingga 70 tahun.
“Majoriti penumpang adalah bukan warganegara dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Salah seorang penumpang juga cuba menyogok pegawai penguatkuasa dengan wang tunai namun cubaan itu gagal apabila pegawai bertugas bertindak tegas menolakanya dan merampas wang tersebut sebagai bahan bukti,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kapal dan semua penumpang ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan pada jam 2.53 petang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Dalam operasi berasingan pada hari sama sekitar jam 12 tengah hari sebuah lagi kapal tanpa nombor pendaftaran yang digelar sebagai ‘bot hantu’ dipintas kira-kira 4.3 batu nautika dari Pulau Berhala.
Suhaiby berkata pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga Filipina yang hanya memiliki MyKas bersama dua awak-awak warga asing dan seorang warga tempatan.
“Pemeriksaan lanjut menemui 12 tong jerikin berisi petrol dianggarkan sebanyak 300 liter selain 700 liter lagi disimpan dalam tangki utama bot bagi menggerakkan tiga enjin luar 250 kuasa kuda.
“Bahan api ini dipercayai digunakan untuk perjalanan ulang alik antara Malaysia dan Filipina,” jelasnya.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk bot tidak berdaftar dan tidak dilesenkan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 serta membawa petrol tanpa permit sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Bot ini bukan sahaja tidak sah malahan ia seperti perangkap maut terapung yang sarat bahan mudah terbakar tanpa sebarang ciri keselamatan. Bot terbabit dipercayai terlibat dalam aktiviti rentas sempadan secara senyap,” tegas beliau.
Kesemua suspek serta kapal telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.
Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh kawalan sempadan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan penyeludupan, pemerdagangan manusia atau pencerobohan.