LAHAD DATU: Sebanyak 61 tan isirung kelapa sawit dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dalam satu serbuan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sebuah premis tanpa nombor di Jalan POIC, pada Rabu lalu.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim, berkata dua lelaki masing-masing berusia 39 dan 48 tahun turut ditahan semasa serbuan dijalankan.
Kedua-dua suspek ditangkap ketika sedang memindahkan isirung sawit dari sebuah lori ke sebuah treler.
“Hasil pemeriksaan menemui longgokan isirung sawit dan sebuah bunker yang mengandungi isirung. Pasukan turut merampas dua lori (tanpa bahagian belakang), sebuah treler, dua jentolak, sebuah bunker dan 61 tan isirung kelapa sawit.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM2,001,500,” katanya, menambah siasatan kes ini akan dijalankan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Di SEMPORNA, PPM menggagalkan cubaan dua lelaki untuk melarikan kayu gergaji yang dipercayai dicuri dari Hutan Simpan Pulau Timbun Mata, di sini, pada Rabu.
Mohd Nazri berkata, semasa rondaan di perairan Tobo-Tobo, pasukannya mengesan sebuah bot laju membawa kayu gergaji pada kira-kira 1.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dan seorang lelaki warga asing berusia 42 tahun.
“Kesemua rampasan termasuk bot dan enjinnya dianggarkan bernilai RM30,350,” katanya, menambah bahawa kes akan disiasat di bawah Enakmen Hutan 1968 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam serbuan berasingan, PPM turut merampas sebanyak 663kg minyak masak bersubsidi dalam peket, susulan operasi di perairan berdekatan Kampung Panji.
Barangan bersubsidi itu ditinggalkan di dalam sebuah bot laju yang ditunda ke jeti. Barangan berkenaan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM62,014 dan siasatan akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, beliau berkata PPM Sabah terus komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.
Beliau juga mengalu-alukan maklumat daripada orang awam bagi membantu usaha membanteras aktiviti jenayah.