Kota Kinabalu: Tiada masalah dengan slogan “Sabah for Sabahans”, “Sabah First”, “Sabah Rumah Kita” atau mana-mana slogan lain yang digunakan rakyat Sabah sebagai sebahagian daripada aspirasi mereka, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Ewon Benedick.
Beliau tidak bersetuju dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan slogan itu sebagai “memecahbelahkan”.
“Bagi saya, ia adalah satu bentuk semangat patriotik. Selagi ia bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah dan mengukuhkan keharmonian nasional yang lebih luas, apa-apa slogan atau tema seumpamanya boleh diterima.”
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata tiada sekatan terhadap parti-parti berpangkalan di Sabah untuk memilih pendekatan politik masing-masing, termasuk membentuk pakatan dan kerjasama dengan parti lain melalui gabungan nasional.
Slogan “Sabah for Sabahans” (Sabah untuk rakyat Sabah) semakin menjadi tema biasa dalam kalangan parti yang mahukan kerajaan negeri dipimpin oleh parti atau gabungan yang berpangkalan di Sabah, bukannya oleh individu Sabah yang mengetuai parti atau gabungan dari Semenanjung di peringkat negeri.
Hanya Upko dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) merupakan parti berpangkalan di Sabah yang menjadi sebahagian daripada gabungan dari Semenanjung, masing-masing Pakatan Harapan (dipimpin PKR) dan BN (dipimpin Umno).
“Sebagai presiden parti dari Sabah, saya amat memahami sentimen dan aspirasi rakyat di sini. Sebab itu saya juga tekankan bahawa aspirasi tempatan mesti menjadi asas rundingan dalam gabungan politik yang lebih besar di Sabah,” katanya.
Menurut beliau, rakyat mahukan penyelesaian terhadap masalah mereka, bukan hanya suara lantang yang memperjuangkan slogan semata-mata.
Beliau juga tidak melihat sebarang isu terhadap pilihan acuan politik oleh parti-parti Sabah, termasuk bekerjasama dengan parti di peringkat nasional atau dengan “parti luar” yang mengamalkan sistem demokrasi.
“Saya lebih cenderung melihat keberkesanan kerjasama antara parti dalam mencari penyelesaian kepada masalah rakyat.
“Semangat dan slogan yang kita laungkan mestilah menyumbang kepada penyelesaian masalah asas rakyat seperti jalan raya, liputan internet dan sebagainya.
“Tidak kira betapa kuat pun slogan itu, jika masalah asas rakyat masih tidak selesai selepas berdekad-dekad, ia tetap hanya tinggal slogan semata-mata.
“Sebab itu bagi kawasan yang saya wakili, saya mahu membina kekuatan tambahan dengan bekerjasama dengan parti lain, termasuk gerakan koperasi, untuk menyelesaikan masalah rakyat kerana saya tahu peruntukan wakil rakyat adalah terhad,” katanya.